Xi Periksa Kerja Pertanian Musim Bunga

2024-03-20 12:53:44  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping turun meninjau ke pekan Xiejiapu di bandar Changde bagi memeriksa kerja persiapan aktiviti pertanian semasa musim bunga, pada petang Selasa.


Beliau menjejakkan kaki di kawasan sawah padi untuk melihat sendiri kerja menyemai benih padi dan membajak tanah, serta beramah mesra dengan penanam bijirin, juruteknik pertanian, pegawai akar umbi dan penduduk tempatan.


Aktiviti pertanian semasa musim bunga serta kerja persiapan berkenaan amat penting dalam memastikan hasil penuaian dan keselamatan makanan, kata Xi.


Beliau menegaskan peri pentingnya untuk memastikan ladang-ladang semaian yang mencukupi, memperhalus kerja pengurusan ladang, menjamin kecukupan bekalan pertanian dan mengukuhkan perkhidmatan berkaitan pertanian.

Xi mahukan usaha terus dipertingkat bagi memperdalam integrasi membabitkan aspek benih berkualiti, kaedah pertanian, jentera pertanian dan tanah ladang.


Dasar sokongan dan insentif akan dilaksanakan secara mantap untuk memastikan kaum tani menjana pendapatan lumayan sekali gus meningkatkan pengeluaran bijirin buat tahun ini, tambah Xi.