Undang-undang Lebih Lengkap Jamin Kestabilan Berkekalan HKSAR

2024-03-21 15:07:43  CRI
Share with:

Majlis Perundangan (LegCo) Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) meluluskan rang undang-undang mengenai pemeliharaan keselamatan negara dengan undi sebulat suara pada Selasa.


Bagaimanapun, sesetengah pihak antaranya Majlis Eropah dan Setiausaha Luar Britain David Cameron tampil mendakwa ordinan berkenaan 'semakin menghakis kebebasan' selain mempersoalkan persekitaran perniagaan di Hong Kong.


Hakikatnya, muslihat seumpama hanyalah pertunjukan politik yang lazim dilakukan politikus Barat.


Undang-undang keselamatan negara melibatkan Hong Kong yang berkuat kuasa sejak 2020, menjadi pemantap kepada kestabilan dan kemakmuran wilayah itu.


Namun, ia masih tidak memadai untuk menangani pelbagai kemungkinan yang mengancam keselamatan negara.


Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Negara menjadi pelengkap kepada undang-undang itu, sekali gus memastikan masyarakat Hong Kong kekal stabil dan dasar 'satu negara, dua sistem' dilaksanakan secara mantap.


Melihat kepada amalan antarabangsa, penggubalan undang-undang keselamatan dititikberatkan hampir semua negara di dunia, seperti Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai 21 akta seumpama dan Britain sebanyak 14.


Apabila udang-undang serupa diluluskan di Hong Kong, mengapa ia didakwa menjejaskan hak dan kebebasan? Sikap hipokrit dan dwistandard yang diambil Barat jelas terpampang.


Dari segi isi kandungan, ordinan berkenaan meletakkan aspek menghormati dan menjamin hak asasi manusia sebagai prinsip utamanya.


Bagi majoriti penduduk tempatan dan pelabur antarabangsa, ia penting bagi menjamin hak dan kebebasan serta harta dan pelaburan mereka.


Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Negara akan diwartakan dan dikuatkuasakan secara rasmi pada 23 Mac. 


Pembangunan berkualiti tinggi akan mendapat jaminan sepenuhnya menerusi keselamatan bertaraf tinggi, membolehkan Hong Kong mendakap masa depan lebih indah sekali gus mencipta lebih banyak peluang kepada dunia.