Tangani Isu Remeh-temeh dari Rakyat dengan Bersungguh-sungguh

2024-03-21 14:44:58  CRI
Share with:

Puan Liu Mingqun merupakan seorang pekerja pembersihan di daerah Shijingshan Beijing iaitu tempat yang Satria tinggal. Beliau juga merupakan Wakil Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China. Selain menghabiskan kerja harian dengan baik, beliau selalu berbual dengan penduduk di daerah ini bagi mendengar permasalahan mereka. Beliau juga mendapati rakan-rakan sekerjanya kerap memberi tumpuan dalam usaha untuk mengumpulkan pembungkusan berlebihan berikutan peningkatan perkhidmatan penghantaran ekspres. Bagi pekerja migran yang ditemuinya pula, mereka berharap agar jaminan sosial sendiri dapat ditingkatkan. Semua cadangan dan keluh kesah tersebut dicatat oleh Puan Liu dan dibawa ke sidang tahunan NPC.

 

Mungkin anda akan berasa pelik, mengapa isu yang remeh temeh seperti ini pula yang dibahaskan di arena politik tertinggi China?

 

Bukankah demokrasi itu mengutamakan kepentingan rakyat? Jadi, menyelesaikan setiap isu remeh temeh dari rakyat merupakan misi utama kerajaan dan inilah demokrasi yang sebenar.

 

Untuk makluman, sidang tahunan NPC China kali ini menerima sebanyak 298 usul dan lebih 7,000 cadangan dari kira-kira 3,000 wakil yang bersidang. Malah sebanyak 8,134 cadangan yang dikemukakan dalam sidang tahun lalu, semuanya telah diambil tindakan.

 

Sebagai negara besar yang mempunyai populasi lebih 1.4 bilion, pastinya tidak mungkin hanya menerima 7,000 atau 8,000 cadangan daripada rakyat.

 

Termasuk wakil NPC China, sistem Kongres Rakyat lima peringkat di negara ini melibatkan lebih 2.6 juta wakil. Kebanyakan mereka adalah pekerja am seperti Puan Liu Mingqun. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat, bekerja dan hidup bersama dengan rakyat, dan bertugas menyerahkan jutaan cadangan yang terkumpul dari rakyat pada sidang tahunan kongres rakyat pelbagai peringkat.

 

Dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi, misi para wakil NPC menjadi semakin mudah. Setiap wakil mempunyai satu aplikasi khas dalam telefon pintar mereka untuk mengumpulkan cadangan daripada rakyat dan menyerahkannya pada bila-bila masa, manakala jabatan yang berkaitan akan memberi respon dalam tempoh tertentu.

 

Bukan itu sahaja, lebih 600 ribu anggota Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China(CPPCC) di pelbagai peringkat juga bertanggungjawab untuk memberi cadangan kepada pentadbiran negara dan setempat, dan mengeluarkan pandangan terhadap kerja yang dijalankan kerajaan.

 

Persoalannya, adakah semua cadangan ini diterima pakai dengan bersungguh-sungguh atau hanya hangat-hangat tahi ayam?

 

Tinjauan Pusat Pengajian Pew Amerika Syarikat yang diumumkan pada tahun 2019, mencatatkan sebanyak 86% rakyat China berpuas hati dengan kerajaan, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kadar purata sebanyak 47% di dunia, malah peratusan yang dicatat China lebih tinggi berbanding beberapa negara barat.

 

Bukan itu sahaja, Pusat Pentadbiran dan Inovasi Demokrasi Ash, Universiti Harvard yang mengadakan tinjauan selama 13 tahun turut mengeluarkan laporan pada 2020 yang menunjukkan kadar puas hati rakyat China terhadap kerajaan pusat adalah melebihi 90%.

 

Saya rasa ini adalah jawapan yang paling jelas.