Xi Seru Tingkatkan Usaha Pacu Pembangunan di Kawasan Bahagian Tengah China

2024-03-21 13:44:53  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menyeru agar meningkatkan usaha bagi memacu pembangunan yang berkualiti tinggi di kawasan bahagian tengah yang dijangka boleh menyerlah dalam modenisasi ala China.


Xi membuat kenyataan itu semasa mempengerusikan satu simposium tentang usaha terus memacu pembangunan di kawasan bahagian tengah pada era baharu di sini pada Rabu.

Dalam ucapannya, Xi menyifatkan kawasan bahagian tengah di negara ini sebagai pangkalan pengeluaran bijirin yang penting di peringkat kebangsaan, pangkalan bahan mentah dalam bidang sumber tenaga, pangkalan pembuatan kemudahan moden dan industri berteknologi tinggi, serta hab pengangkutan yang komprehensif.


Xi menegaskan peri pentingnya untuk giat memupuk dan membangunkan kuasa produktif kualiti baharu melalui inovasi industri yang diterajui kemajuan sains dan teknologi yang inovatif.  


“Usaha perlu dibuat untuk membantu kawasan bahagian tengah memperkasa penyelarasan dalam pelaksanaan pelbagai strategi pembangunan utama, menjadi semakin relevan dalam Paradigma Pembangunan Baharu, memperkukuh hubungannya dengan kawasan Beijing-Tianjin-Hebei, kawasan Delta Sungai Yangtze dan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao, selain meningkatkan peranannya dalam pembangunan Jalur Ekonomi Sungai Yangtze serta perlindungan ekologi dan pembangunan berkualiti di kawasan aliran Sungai Kuning,” kata beliau. 


Xi menegaskan, hendaklah memperincikan pembaharuan dan meningkatkan tahap keterbukaan di  kawasan pedalaman termasuk kawasan bahagian tengah supaya dapat menjadikannya lebih kompetitif.

“Perlunya memastikan kelancaran pelbagai unsur produksi yang mengalir antara kawasan, menambah baik landskap yang terbabit, dan memperbaiki pasaran domestik yang bersatu.


“Kawasan bahagian tengah dikehendaki terus meningkatkan tahap keterbukaan dari segi institusi, meningkatkan penglibatan dalam pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), berinisiatif membina akses ke Jambatan Daratan Eurasia Baharu dan Koridor Baharu Laut Darat Kawasan Barat, mempergiatkan pelaksanaan projek pilot di zon perdagangan bebas yang berspesifikasi tinggi, mewujudkan lebih banyak platform peringkat tinggi yang berorientasikan keterbukaan dan kerjasama, sekali gus memainkan peranan yang lebih besar dalam menghubungkan kitaran pasaran domestik dengan antarabangsa,” kata beliau.


Xi juga menyatakan, usaha perlu dibuat untuk meningkatkan penyelarasan antara perlindungan ekologi alam dengan pembangunan hijau dan rendah karbon demi matlamat pembinaan 'Kawasan Bahagian Tengah yang Indah'.


“Di samping itu, pelbagai pihak berkenaan perlu meneruskan pembangunan bersepadu antara bandar dan kawasan di luar bandar bagi memajukan pembangunan kawasan luar bandar secara menyeluruh, meningkatkan keselamatan pengeluaran ketika bergotong-royong memacu pembangunan, dan memastikan keselamatan makanan dan sumber tenaga terjamin,” kata Xi.