Sekali Melangkah Teruskan Melangkah

2024-03-22 15:06:04  CRI
Share with:

Memetik laporan Australian Associated Press (AAP), daripada panda gergasi hingga isu tarif, semua topik perbincangan didedahkan secara berterus-terang pada meja rundingan semasa pertemuan Menteri Luar China Wang Yi bersama rakan sejawatnya dari Australia Penny Wong.


Dialog Diplomatik dan Strategik China-Australia pusingan ketujuh yang berlangsung di Canberra pada Rabu memperlihatkan hubungan kedua-dua negara itu terus bertambah baik dan berkembang.

 

Lawatan Wang Yi ke negara Down Under itu dianggap menggalakkan lagi kemesraan hubungan antara Beijing dengan Canberra.

 

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China-Australia.

 

Sedekad lalu, hubungan dua negara mengalami pasang surut susulan pentadbiran Australia pada ketika itu mengekori Amerika Syarikat (AS) dan bertindak membuta tuli sebagai ‘pelopor’ dalam mengekang China dan mengamalkan dasar yang salah terhadap China.

 

Tindakan seumpama menjerumuskan hubungan China-Australia ke dalam situasi lebih buruk sejak 2018.

 

Perubahan positif berlaku apabila pentadbiran Australia yang diambil alih oleh Parti Buruh menentukur semula dasar terhadap China pada Mei 2022.

 

Pada November seterusnya, pemimpin dua negara mencapai konsensus penting mengenai usaha mempercepat penambahbaikan hubungan bilateral.

 

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese turut melawat China pada November lalu. Ia merupakan lawatan rasmi pertama ke China oleh seorang perdana menteri Australia dalam tempoh tujuh tahun.

 

Menurut penganalisis, jika mahu mewujudkan pembangunan menang-menang dengan China, Australia mesti secara asasnya mengubah strateginya iaitu ‘ikut telunjuk AS bendung China’.

 

Negara itu harus mengambil langkah pragmatik untuk mengelak hubungan Beijing-Canberra daripada berpatah balik ke arah yang bertentangan. Terpenting sekali, Australia perlu menghormati kepentingan teras dan keprihatinan utama China.

 

Perkembangan hubungan kedua-dua negara terletak pada kemandirian. Australia merupakan sekutu AS dan juga rakan kongsi China. Pendirian Beijing konsisten bahawa hubungan China-Australia tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga, dan tidak boleh dipengaruhi atau diganggu pihak ketiga.

 

Sejak sekian lama, tidak pernah wujudnya sebarang rasa dendam atau percanggahan kepentingan antara China dengan Australia, dua buah kuasa penting di Asia Pasifik.

 

Kini, perkembangan hubungan China-Australia dilihat mempunyai hala tuju yang lebih jelas ke arah mantap dan berkekalan. Ia selaras dengan kepentingan bersama rakyat, dan juga aspirasi negara serantau.