Demokrasi, Nilai Kemanusiaan Yang Dikongsi Bersama

2024-03-22 16:22:52  CRI
Share with:

Pada 1990-an, selepas berakhirnya Perang Dingin, demokrasi ala barat dilihat berkembang pesat di dunia, namun mengapa ianya terhenti pada 10 tahun kebelakangan ini? Bahkan banyak negara mula mempersoalkan demokrasi ala barat?

 

Dalam Forum Demokrasi bertemakan “Demokrasi: Nilai Kemanusiaan Yang Dikongsi Bersama” yang berlangsung di Beijing pada minggu ini, ramai bekas tokoh politik dan pakar telah mengemukakan persoalan tersebut dan bersama-sama mencari jawapannya.


Bekas Perdana Menteri Itali, Massimo D’Alema mengakui bahawa prinsip paling jelas dalam demokrasi ala barat ialah satu orang satu undi dan kemudiannya berubah menjadi satu dolar satu undi.

 

Undi hanyalah sekadar ‘topeng’ dalam demokrasi ala barat pada masa ini. Namun disebaliknya tersembunyi banyak kekotoran. Ramai tokoh politik dan masyarakat dunia sedar akan perkara ini.

 

Misalnya berlaku kes di TikTok, netizen China ada meninggalkan komen bahawa ada seorang lelaki (pembuli) telah melihat seorang wanita yang sangat cantik, namun wanita tersebut merupakan isteri orang. Jadi lelaki tersebut memaksa wanita itu untuk berpisah dengan suaminya dan berkahwin dengan lelaki ini, jika wanita ini ingkar, dia akan dibunuh. Bagaimanapun ironiknya, kejadian buli ini diadakan dengan cara pengundian pada Kongres Amerika Syarikat(AS).

 

Ramai peserta forum tersebut turut mengecam dengan mengatakan demokrasi yang sepatutnya memfokuskan kepada kepentingan rakyat, kini telah disalahgunakan.

 

Tan Sri Ong Tee Keat, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Parlimen Malaysia turut menyatakan pendapatnya bahawa AS bertindak menggulingkan kerajaan di negara-negara membangun dengan alasan untuk membantu sistem demokrasi negara tersebut. Namun kerajaan yang dipilih selepas itu hanya menjadi boneka AS sahaja. Sekaligus segala keperluan rakyat akan diketepikan dan krisis kemanusiaan yang berlaku akan dipandang sebelah mata.

 

Demokrasi merupakan satu sistem pentadbiran, jadi ia perlu berkembang seiring dengan perubahan situasi dalam dan luar negara. Hakikatnya Perancis, Britain dan AS pernah mendorong pembentukan sistem demokrasi di negara masing-masing, namun ia berlaku pada lebih seratus tahun yang lalu. Tidak mungkin sistem tersebut sesuai untuk menjadi piawaian bagi setiap negara yang mengalami perkembangan dari segi sejarah, budaya dan politik. Malah piawaian tersebut tiada perubahan langsung sehingga kini.

 

Kebimbangan pelbagai negara terhadap demokrasi ala barat juga tercetus berikutan kekacauan pentadbiran yang berlaku pada beberapa negara barat. Sekiranya mereka dapat menunjukkan pentadbiran yang baik, pasti ia akan dicontohi oleh negara-negara lain. Sebaliknya banyak masalah yang timbul seperti konflik perkauman, penyebaran “Zero-dollar Shopping”, LGBT, inflasi, pembulian sewenang-wenangnya dengan menggunakan sekatan unilateral, sistem pembayaran dolar bahkan sokongan barat terhadap kemusnahan kaum yang berlaku di Gaza, menyebabkan keyakinan terhadap demokrasi ala barat semakin terjejas dan banyak negara bertindak untuk mencari jalan lain untuk melaksanakan sistem demokrasi mengikut acuan mereka sendiri.

 

Kesimpulannya, forum bertemakan demokrasi yang dihoskan Beijing ini telah menjadi arena perbincangan pelbagai negara, tidak kira dari Barat, Timur, Selatan, Eropah, Asia atau Afrika untuk mencari kata sepakat selain memahami perbezaan amalan demokrasi yang ada di pelbagai negara. Manakala Sidang Kemuncak Demokrasi yang telah dilakukan sebanyak tiga kali oleh AS, hanya bertujuan untuk memilih rakan sekutu mereka bagi Perang Dingin Baharu sahaja.