Promosikan dan Lindungi Hak Asasi Manusia Melalui Dialog dan Kerjasama - Wakil China

2024-03-22 11:57:23  CRI
Share with:

Hak asasi manusia perlu dipromosikan dan dilindungi melalui dialog dan kerjasama yang bersifat konstruktif, dan pelbagai pihak perlu menolak mempolitikkan dan memperalatkan isu-isu hak asasi manusia.

Demikian kata wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan pelbagai pertubuhan antarabangsa di Switzerland, Chen Xu dalam satu kenyataan bersama yang disampaikan bagi pihak Kumpulan Rakan mengenai Promosi Hak Asasi Manusia melalui Dialog dan Kerjasama pada sesi ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di sini pada Rabu. 


Kenyataan bersama itu menegaskan, suasana mengamalkan politik dan polarisasi dalam Majlis Hak Asasi Manusia semakin memburuk pada masa ini, yang dilihat bertentangan dengan aspirasi pengasas pertubuhan itu dan juga tidak selaras dengan prinsip universal, saksama, objektif, tanpa politik dan tidak memihak.

Kenyataan bersama itu juga menegaskan tiga cadangan mengenai kerja Majlis Hak Asasi Manusia, iaitu pelbagai pihak perlu menegakkan kesaksamaan dan keadilan, mematuhi manifesto dan prinsip Piagam PBB, menolak kegiatan mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota dengan menggunakan hak asasi manusia sebagai dalih dan menyeru menghentikan sekatan unilateral dengan segera.


"Pelbagai pihak perlu berpegang kepada keterbukaan dan keterangkuman, memainkan peranan yang sewajarnya bagi menjalankan dialog dan kerjasama yang bersifat membina berdasarkan sikap sama rata dan saling menghormati, menggalakkan pembentukan konsensus melalui dialog dan pertukaran, dan bekerjasama untuk melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia melalui pembangunan, dialog dan kerjasama dalam suasana yang aman. 

"Pelbagai pihak juga perlu bersikap objektif dan saksama untuk menjalankan kerja berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif, menghormati kedaulatan dan kemandirian politik milik setiap negara, menghormati laluan pembangunan hak asasi manusia yang dipilih oleh setiap negara berdasarkan keadaan negara sendiri, dan memberikan bantuan teknikal dan bantuan dalam bidang pembinaan kapasiti mengikut keperluan dan kehendak negara berkenaan.


Kenyataan bersama itu mendapat sokongan dan sahutan secara meluas  di kalangan negara-negara membangun.