Pembangunan China Beri Kejutan kepada Dunia, Kata Presiden Angola

2024-03-25 14:41:37  CRI
Share with:

Presiden Angola João Manuel Gonçalves Lourenço berkata China selalu membawa kejutan gembira kepada dunia kerana perkembangan China adalah berterusan. 


Pemimpin Angola berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG) di Beijing baru-baru ini. 


"Kita masih ingat, imej China pada masa dahulu ialah petani yang bercucuk tanam di sawah padi. Namun pada masa ini, ia sudah berubah. 


"Imej China kini adalah seperti pemuda yang bergaya moden, serupa dengan petugas kanan di syarikat sains dan teknologi besar," kata beliau. 


China dan Angola telah meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada tahun lalu. Presiden Xi Jinping menyatakan bahawa kerjasama kedua-dua negara ini adalah kerjasama Selatan-Selatan, kerjasama antara negara-negara membangun, dan juga tolong-menolong antara sahabat baik. 


"Saya setuju dengan pandangan Presiden Xi. Hubungan antara Angola dan China boleh dianggap sebagai contoh baik, dan hubungan dua hala ini mencapai hasil pembangunan setiap tahun," kata Presiden Lourenço. 


Beliau berkata, setiap kali Angola memerlukan bantuan, misalnya ketika Angola membina semula negaranya pasca perang, China mengulurkan bantuan. Ketika dunia menghadapi penularan COVID-19, China memberikan bantuan bukan sahaja kepada Angola tetapi juga banyak negara lain di seluruh dunia.


Berdasarkan statistik yang tidak lengkap, terdapat lebih daripada 400 syarikat China berdaftar di Angola, menawarkan lebih daripada 60,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. 

Selain itu, China telah melaksanakan dasar bebas tarif kepada 98% produk dari enam negara termasuk Angola. 


"Kita harus memberikan pujian tinggi (terhadap langkah ini). Ini adalah dasar yang berlawanan dengan penubuhan halangan tarif. Ia melambangkan keterbukaan, di mana produk kami dapat masuk ke pasaran besar seperti China,” kata Presiden Lourenço.