Zhao Leji Sampaikan Ucapan di Majlis Perasmian BFA 2024

2024-03-28 15:39:57  CRI
Share with:

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhao Leji menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian persidangan tahunan Forum Boao untuk Asia (BFA) 2024 di provinsi Hainan, selatan China pada Khamis.


Zhao menyatakan bahawa China konsisten dalam melaksanakan strategi pembangunan pacuan inovasi, menggalakkan inovasi perindustrian melalui kemajuan sains dan teknologi yang inovatif, dan mempercepatkan pembangunan kuasa produktif kualiti baharu.


"China akan secara proaktif menyesuaikan diri dengan peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang berstandard tinggi dan membina persekitaran pelaburan kelas pertama. Melabur di China sama dengan melabur untuk masa hadapan kerana pasaran gergasi di China akan terus menunjukkan potensi besar," kata Zhao.


"Kami sangat mengalu-alukan semua negara mengambil kesempatan yang wujud dalam pembangunan China dan berganding bahu untuk merealisasikan pemodenan dunia yang bercirilkan pembangunan aman, kerjasama yang saling menguntungkan dan kemakmuran bersama," tambah beliau.


Zhao menyebut bahawa pembangunan hijau dan rendah karbon di China akan menyumbang kepada peningkatan besar dalam pertumbuhan ekonomi dan memupuk satu pasaran bernilai RMB10 trilion (RM6.55 trilion) untuk pelaburan dan penggunaan setiap tahun.


Kini China mempunyai hampir separuh daripada keseluruhan kapasiti penjanaan kuasa fotovoltaik di dunia, lebih separuh daripada keseluruhan kenderaan elekrtik bateri (BEV) yang berjalan di dunia, dan satu perempat daripada keseluruhan hutan yang baru ditanam di dunia.


China giat memajukan pemodenan ala China dalam semua bidang melalui pembangunan berkualiti tinggi, yang dipercayai akan menyuntik momentum ke dalam pemulihan ekonomi global dan menyediakan lebih banyak peluang untuk pembangunan semua negara, khususnya negara-negara jiran di Asia.


Melalui ucapannya, Zhao menyeru negara-negara Asia untuk terus bersatu-padu, bersama-sama menentang amalan unilateralisme dan egotisme yang melampau, menentang konfrontasi antara kem yang berbeza, dan mengelakkan rantau ini dan dunia daripada menjadi arena untuk pertempuran geopolitik.


Beliau juga menyeru negara-negara Asia untuk menentang perlindungan perdagangan, pembinaan 'tembok dan halangan', dan 'penyahgandingan' dalam apa jua bentuknya.