Subsidi Bersifat Diskriminasi AS Tidak Bermanfaat bagi Perusahaan Domestiknya

2024-04-01 15:51:55  CRI
Share with:

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat(AS), Janet L. Yellen dijangka melawat China sekali lagi. Pada sesi lawatan beliau pada Julai lalu, pelangi yang cukup indah kelihatan di langit sewaktu Janet melangkah keluar dari kapal terbang. Perdana Menteri, Li Qiang mengibaratkan keadaan itu sebagai petanda baik dalam hubungan China-AS.

 


Ketika ini, masyarakat China melihat Janet sebagai pegawai kanan AS yang bersikap pragmatik terhadap China. Diharap lawatan beliau ke negara ini, akan membantu memulihkan hubungan bilateral yang kurang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Janet yang sebelum ini banyak kali menegaskan untuk tidak perlu “decoupling” dengan China, sebaliknya berdepan kritikan “bersikap lemah menghadapi China”.

 

Sebelum sesi lawatan Janet ke China nanti, Washington telah mengumumkan akta sekatan baharu yang melarang cip AI dan GPU canggih dieksport ke China, termasuk komputer riba yang sudah menggunakan cip dan GPU tersenarai.

 

Sebelum berlepas ke China, Janet melawat satu kilang fotovoltaik di Georgia dan menyatakan bahawa ia akan memberi tekanan kepada China, atas “kapasiti melampau” dalam bidang fotovoltaik, EV dan bateri litium ekoran subsidi kerajaan China. Menurutnya tindakan itu telah menjejaskan rantaian global, kepentingan perusahaan AS serta tenaga kerja di negara tersebut.

 

Untuk pengetahuan, kilang fotovoltaik yang dikenali sebagai Suniva ini telah bankrap sejak 2017. Kemudian, kilang ini mendapat subsidi dari kerajaan Joe Biden selaras dengan Akta Pengurangan Inflasi (IRA 2022). Niatnya cukup jelas, untuk menjadikan Suniva sebagai contoh usaha yang diambil kerajaan AS dalam melindungi perusahaan domestik sekaligus mengurangkan pelepasan karbon.

 

Malah ada netizen menyebut bahawa perusahaan China telah membantu menurunkan kira-kira 90% penggunaan fasiliti fotovoltaik global, sekaligus memberikan sumbangan besar kepada pengurangan pelepasan karbon global.

 

Hakikatnya, sekiranya fasiliti fotovoltaik yang dipasang di AS sejak 2008 sehingga 2018 digantikan menjadi produk buatan domestik, kos akan meningkat sebanyak USD24 bilion.

 

IRA 2020 merupakan langkah kerajaan Joe Biden dalam menyediakan subsidi kepada industri domestik, terutamanya dalam sektor tenaga bersih. Ia jelas melanggar peraturan WTO dan Korea Selatan pernah menyatakan bantahan keras terhadap akta tersebut. Jerman dan Perancis juga menyatakan tentangan dan mengeluarkan kenyataan bersama yang jelas “membela kepentingan Eropah”.

 

Susulan itu, China telah mengeluarkan dakwaan kepada WTO berikutan subsidi AS yang dilihat bersifat diskriminasi terhadap sektor EV di bawah IRA.

 

Ketika China menganggotai WTO, ramai bimbang atas impak dari luar negara. Faktanya, banyak kilang di China yang bankrap sehinggakan ramai pekerja tempatan kehilangan kerja pada akhir abad ke-20, termasuk ibu bapa Satria. Bagaimanapun, dengan kesungguhan dan kerajinan mereka, selain pengubahsuaian struktur industri dan inovasi, mereka telah mendapat peluang kerja dalam sektor baharu.

 

China dengan usaha yang luar biasa akhirnya mendominasi dalam sektor tenaga bersih. Seperti yang Satria pernah kongsi sebelum ini, hampir semua syarikat fotovoltaik kumpulan pertama di China bankrap ekoran sekatan dan diskriminasi AS serta Kesatuan Eropah.

 

Sepatutnya yang perlu dilakukan kerajaan AS adalah menyokong perusahaan domestik untuk berani menghadapi persaingan antarabangsa, menggalakan inovasi, menyediakan produk yang murah dan berkualiti kepada rakyat, bukannya menyediakan subsidi semata-mata untuk menyekat pesaing mereka.