Junjung Prinsip Satu China Selaras Arus Sezaman: Presiden Nauru

2024-04-01 15:19:21  CRI
Share with:

Nauru berharap dapat menjadi rakan kongsi China dan melihat wujudnya potensi amat besar dalam pembangunan negara Tembok Besar, kata Presiden David Adeang.


Minggu lalu, Adeang membuat lawatan sulung ke China sejak pemulihan ikatan diplomatik kedua-dua negara pada Januari.


Dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG), beliau mengimbas kembali saat Parlimen Nauru membuat keputusan memulihkan hubungan dengan China.


Adeang berkata resolusi berkenaan diluluskan dengan sebulat suara dan semua anggota parlimen sepakat mengakui dan menyokong prinsip satu China.


"Bukanlah mudah bagi semua anggota parlimen mencapai persepakatan dalam suatu perkara. Namun, keadaannya sangat istimewa ketika menentukan pemulihan hubungan dengan China.


"Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang, semua anggota parlimen yang hadir pada mesyuarat hari itu amat gembira dengan resolusi berkenaan," kata Adeang.


Beliau berpendapat pegangan pada prinsip satu China merupakan trend yang tidak boleh dihalang dan selaras dengan arus sezaman.


"Sudah dibuktikan sejarah dan akan terus dibuktikan pada masa hadapan bahawa makin banyak negara akan mengiktiraf dan menyokong prinsip satu China.


"Trend itu sudah disaksikan di rantau lain di dunia, begitu juga di rantau Pasifik," ujar beliau.