Presiden Xi Bertemu Bakal Presiden Indonesia Prabowo
China komited bekerjasama dengan Indonesia ke arah membina komuniti berkongsi nasib sesama negara yang berpengaruh di peringkat serantau dan global, sehingga membawa lebih banyak manfaat buat rakyat serta menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran rantau dan dunia.
Demikian ujar Presiden China Xi Jinping semasa pertemuan bersama bakal Presiden Indonesia yang juga ketua Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Prabowo Subianto di Beijing, petang Isnin.
Xi berkata, China dan Indonesia merupakan dua buah negara membangun utama dan pasaran baru muncul. Kedua-dua pihak sentiasa menyokong satu sama lain dalam memperjuangkan kemerdekaan bangsa dan pembangunan negara.
“Untuk masa hadapan, kita (China dan Indonesia) harus terus berkolaborasi dan bersatu padu bagi menunjukkan contoh baik dalam kerjasama saling untung dan pembangunan bersama, serta menjadi pelopor kerjasama Selatan-Selatan,” ujar beliau.
Xi turut menyatakan kesediaan China untuk mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan Indonesia, berkongsi pengalaman tadbir urus negara dan mengukuhkan penyelarasan strategi pembangunan.
“Selain projek ‘Dua Negara, Taman Kembar’ dan Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau yang giat dilaksana, kedua-dua pihak harus terus memperkasa kerjasama maritim.
“Kami sudi mengukuhkan kerjasama dengan Indonesia dalam pengurangan dan pembasmian kemiskinan, dan memberikan sokongan dalam hal ini,” katanya.
Di peringkat serantau, Xi menyatakan China akan bersama Indonesia untuk menegakkan perpaduan dan kepusatan ASEAN, mempertahankan kerangka serantau terbuka dan inklusif, dan membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat.
Sementara itu, Prabowo berkata Indonesia dan China akan teguh menyokong kepentingan teras satu sama lain, menggerakkan perkembangan berkualiti hubungan dua hala secara menyeluruh, dan melaksanakan konsensus penting untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.