Mesyuarat Kumpulan Kerja China, AS Bincang Kerjasama Perdagangan Dua Hala

2024-04-05 16:05:31  CRI
Share with:

Atas undangan pihak Amerika Syarikat (AS), Naib Menteri Perdagangan China, yang juga wakil perunding perdagangan antarabangsa, Wang Shouwen melakukan lawatan ke AS pada 2 hingga 5 April. Beliau bersama-sama Naib Setiausaha Perdagangan AS Marisa Lago mempengerusikan mesyuarat peringkat naib menteri kali pertama bagi kumpulan kerja perdagangan China-AS.


Wang Shouwen menyatakan bahawa pihaknya komited berusaha bersama AS untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, meningkatkan komunikasi dan kerjasama melalui kumpulan kerja perdagangan China-AS, mengawal percanggahan pendapat agar membina suasana yang lebih baik bagi melicinkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara syarikat kedua-dua negara.


Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak menzahirkan kesediaan untuk mengekalkan komunikasi erat dengan syarikat bagi mengadakan perbincangan mengenai isu yang diberikan perhatian oleh syarikat.


Di samping itu, kedua-dua pihak akan memberikan sokongan kepada aktiviti penggalakkan perdagangan dan pelaburan termasuk Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), Pameran Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa China (CIFIT), Forum Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-California serta kerjasama dalam bidang teknologi tenaga bersih dan kesihatan kaum wanita. 


Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan perbincangan tentang isu piawaian konkrit yang diberikan perhatian kalangan perindustrian, meningkatkan kerjasama yang memudahkan perdagangan, memainkan peranan mekanisme pertukaran maklumat kawalan eksport serta memperkasakan komunikasi dan pertukaran tentang kawalan eksport. 


Atas undangan China, Marisa Lago akan melawat China pada setengah tahun kedua tahun ini dan bersama pihak China untuk mempengerusikan mesyuarat peringkat naib menteri kali kedua.