Xi Temu Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam

2024-04-08 17:06:56  CRI
Share with:


China dan Vietnam perlu bersinergi mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib membuahkan lebih banyak hasil demi menggalakkan pemodenan masing-masing dan membawa manfaat buat rakyat, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada perjuangan sosialis global.


Demikian dinyatakan Presiden China Xi Jinping dalam pertemuan dengan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan (NA) Vietnam Vuong Dinh Hue di Beijing pada Isnin.


Xi berkata China bersedia memperkasa pertukaran pengalaman dengan Vietnam mengenai pentadbiran parti dan negara, di samping mengoptimumkan peranan Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Bilateral China-Vietnam.


China komited mempercepat penyelarasan antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi 'Dua Koridor Satu Lingkaran' dan memperkaya pertukaran sesama pemuda serta bandar bersahabat.


Beliau turut menzahirkan harapan supaya badan legislatif dua negara memperdalam pertukaran dan kerjasama di pelbagai peringkat, saling mempelajari dan menimba pengalaman dalam bidang penggubalan undang-undang dan pemantauan, di samping memainkan peranan penting bagi meningkatkan persahabatan sesama rakyat.

Sementara itu, Vuong Dinh Hue berkata Vietnam akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas dan meletakkan China sebagai pilihan prioriti dan strategik dalam hubungan luarnya.


Vietnam komited merapatkan kerjasama pelbagai peringkat dan memperkukuh kesalingpercayaan politik bertaraf tinggi dengan China, selain aktif mendorong penyelarasan antara BRI dengan strategi 'Dua Koridor Satu Lingkaran'.


Tambah beliau, NA bersedia mengekalkan pertukaran rapat dengan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China dan memainkan peranan positif untuk memperkukuh persahabatan sesama rakyat dan menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib yang bermakna strategik antara kedua-dua negara.