CICPE dan Dwi Kitaran China
Dalam Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) yang berlangsung di Hainan tahun lalu, terdapat syarikat dari Malaysia yang membuka reruai bagi mempromosikan Musang King dan Sarang Burung Walet. Malah tahun ini, Malaysia turut tidak ketinggalan untuk buat kali pertama menghantar ‘rombongan’ bagi menyertai CICPE.
CICPE merupakan ekspo pertama di China yang bertemakan kepenggunaan pada skala yang besar. Meskipun hanya empat kali dianjurkan, CICPE menjadi platform penting bagi banyak syarikat asing untuk memperkenalkan produk mereka yang terbaik dan terkini kepada pasaran China.
Ini disebabkan, China mempunyai sistem pengeluaran yang lengkap selain mampu menghasilkan kapasiti yang besar. Malah China juga mempunyai pasaran yang cukup luas. Justeru sektor kepenggunaan akan menjadi penjana utama bagi ekonomi China pada masa depan.
Pada masa sama, kesinambungan dengan rantaian bekalan antarabangsa membantu memenuhi keperluan rakyat negara Tembok Besar ini untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Misalnya pada waktu dahulu, orang China biasanya bersedia dengan kuaci dan kacang tanah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Namun kini berbeza apabila semakin ramai pengguna di China lebih berminat dengan buah ceri dan durian dari luar negara.
“Dwi kitaran” membentuk struktur pembangunan baharu yang mengutamakan kitaran domestik serta kitaran domestik-antarabangsa yang saling menyokong dikemukakan dengan latar belakang pasaran global yang merosot, kebangkitan perlindungan perdagangan barat dan penaiktarafan struktur industri China.
Bagaimanapun, dengan mengutamakan kitaran domestik tidak bermakna China bertindak menutup pintunya. Meskipun menghadapi semakin banyak tekanan bukan pasaran dari luar negara, China kekal sebagai penyokong kepada keterbukaan dan kerjasama antarabangsa yang saling menguntungkan, dan juga tetap dengan pendiriannya untuk menentang amalan perlindungan perdagangan dan sekatan sepihak.
Memanfaatkan keunggulan pasaran domestik dan potensi penggunaan yang besar, bukan sahaja akan merangsang kitaran domestik dan kitaran domestik-antarabangsa yang saling menggalakkan, sebaliknya akan turut membantu memelihara kestabilan rantaian bekalan dan perdagangan bebas di peringkat global.
Ia merupakan “dwi kitaran” dan bukan dua lingkaran yang tidak bersilang, namun bersambung menjadi “∞”, sekaligus menyediakan peluang yang tidak berhad kepada syarikat dan pengguna di dalam dan luar negara China.
--Satria Zhang