Adakah Kapasiti Pengeluaran Tenaga Hijau China Melampau?

2024-04-09 15:08:08  CRI
Share with:

Baru-baru ini Beijing menyaksikan kehadiran ramai pemimpin antarabangsa termasuk Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat(AS), Janet L. Yellen, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, Puteri Thailand, Maha Chakri Sirindhorn, Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan (NA) Vietnam, Vuong Dinh Hue serta Timbalan Perdana Menteri negara itu, Tran Luu Quang.

 

Untuk rekod, China dan Rusia merupakan rakan kerjasama penting, manakala hubungan China dengan ASEAN adalah dalam usaha membina komuniti berkongsi nasib. Namun yang mencuri tumpuan pastinya lawatan Janet L. Yellen dari AS yang umum mengetahui bukanlah ‘seteru rapat’ China. Bagaimanapun, bagi pandangan Satria, selain sudah mencuba hidangan Canton dan Sichuan serta minum bir di Beijing, lawatan “foodie Yellen” kali ini sebenarnya tidak begitu menarik kerana mengulangi perkara yang sama sahaja.

 

Mungkin yang boleh dikatakan sebagai perkembangan terkini ialah pihak AS dilihat cuba mencari satu alasan baharu dalam usahanya untuk menyekat China, dengan menggunakan terma “kapasiti melampau” dalam pengeluaran produk fotovoltaik, EV dan bateri litium. Seperti yang Satria jangkakan sebelum ini apabila Yellen menggunakan kilang fotovoltaik di Georgia yang bankrap sebagai contoh, untuk mencerminkan risiko “kapasiti melampau” oleh China.

 

Bagaimanapun kilang tersebut telah dibuka semula dengan sokongan Akta Pengurangan Inflasi (IRA 2022) oleh kerajaan Joe Biden. Persoalannya, kalau dikatakan pengeluaran produk fotovoltaik “melampau”, kenapa Washington memberikan subsidi kepada kilang tempatan supaya menambah kapasiti pengeluarannya?

 

Jadi adakah kapasiti pengeluaran China dalam bidang tenaga hijau melampau?

 

Dua tahun lalu, laporan The New York Times bertajuk “China Is Burning More Coal, a Growing Climate Challenge”. Namun kini, tajuknya berubah kepada “Yellen Warns China Against Flood of Cheap Green Energy Exports”.  Jadi, adakah cabaran perubahan iklim bukan lagi masalah?

 

Tidak dinafikan, kapasiti tenaga hijau yang dipasang di China melebihi 50% daripada jumlah keseluruhan negara ini. Bagaimanapun elektrik dari fotovoltaik dan tenaga angin hanya merangkumi 15% daripada keperluan bekalan elektrik seluruh negara. Malah potensi pasaran domestik merupakan asas kepada perkembangan industri tenaga hijau. China berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga hijau juga untuk memenuhi janji negara ini untuk mencapai puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan neutral karbon menjelang 2060.

 

Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang diadakan pada akhir tahun lalu menyaksikan kira-kira 120 negara berjanji untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga hijau kepada tiga kali ganda. Justeru sebenarnya kapasiti tenaga hijau di dunia berlebihan atau sebaliknya?

 

Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa, Fatih Birol menyatakan, meskipun sasaran tersebut adalah sangat baik, namun tiada mekanisme untuk membantu negara-negara membangun beralih kepada tenaga bersih. Kos pelaburan loji janakuasa fotovoltaik di negara-negara membangun mencatatkan kira-kira empat kali ganda berbanding negara-negara maju, sekaligus memberi kesan kepada banyak pelaburan.

 

Namun berita baiknya, kapasiti pengeluaran China telah menggalakkan harga fasiliti fotovoltaik di pasaran antarabangsa menurun 90% dan pelabur terbesar projek tenaga hijau di negara-negara membangun di Asia juga adalah China.

 

Justeru, kapasiti pengeluaran yang dilihat “melampau” dan “terlalu murah” oleh kapitalisme ini sebenarnya sedang membantu sejumlah besar negara-negara membangun menghadapi isu perubahan iklim.