Siapa Penipu Sebenarnya? Pelancong Atau Media Barat

2024-04-11 12:21:03  CRI
Share with:

Akhir bulan lalu, Washington ada mengeluarkan apa yang disebut laporan “Akta Dasar Hong Kong”. Sejurus laporan itu dikeluarkan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat(AS), Anthony Blinken mengeluarkan kenyataan yang beliau akan bersama-sama membantu “membebaskan” penduduk Hong Kong.

 

Bagaimanapun ketika cuti umum Hari Easter dan Hari Qingming yang lalu, dilaporkan lebih 3 juta penduduk Hong Kong melawat ke Tanah Besar China. Jumlah itu adalah hampir separuh daripada populasi Hong Kong yang berjumlah 7.5 juta orang.

 

Persoalannya, adakah mereka “dipaksa” melancong dan membeli belah di Tanah Besar?

 

Lima tahun selepas kekacauan yang berlaku di Hong Kong, “Mutiara Timur” itu kembali aman dan damai menerusi sokongan kukuh dari kerajaan pusat. Bukan itu sahaja, kuasa-kuasa asing yang “mendalangi” kekacauan itu turut melarikan diri dari Hong Kong selepas penguatkuasaan Undang-Undang Keselamatan Hong Kong. Kini, penduduk Hong Kong berpeluang memahami keadaan sebenar di Tanah Besar yang sudah maju dan inklusif dari segenap aspek.

 

Lebih istimewa lagi, jutaan penduduk Hong Kong membanjiri bandar Zhuhai dan Shenzhen yang terletak berhampiran dengan mereka. Jika dilihat menerusi media sosial, mereka banyak berkongsi gambar dan video memuji pasar raya di sana. Kata mereka, selain ruangan yang besar, barangan yang dijual di pasar raya tersebut juga murah, makanan yang sedap, pakaian juga cantik, malah perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih baik berbanding di Hong Kong.

 

Selain Zhuhai dan Shenzhen, ada juga yang memilih untuk melancong ke  Chongqing, Changsha dan bandar lain, terutamanya pelbagai destinasi pelancongan yang tular di media sosial.

 

Bayangkan, usaha memelihara keselamatan di Hong Kong disifatkan oleh AS sebagai “penindasan”. Manakala faktor keselamatan negara dijadikan sebagai alasan untuk menyekat syarikat China dengan sewenang-wenangnya. Ini turut memperlihatkan sikap hipokrit dan amalan dwistandard negara itu.

 

Orang kata tak kenal maka tak cinta. Dengan ini, melancong ke China dan menikmati sendiri keindahan pemandangan serta keramahan penduduk setempat merupakan cara terbaik untuk menghapuskan prasangka dan salah faham ramai pihak.

 

Seperti kisah yang dikongsikan Rachele, sorang gadis Itali yang melanjutkan pelajaran ke Xi’an. Dia kini telah bernikah dengan orang China dan menetap di Hangzhou. Baru-baru ini dia mengundang kawan-kawan dan ahli keluarganya melancong ke China. Ketika berbual-bual santai sambil minum teh dan makan kuaci di Chengdu, beberapa ahli keluarganya yang pertama kali datang ke sini berkata mereka fikir China merupakan negara yang ketinggalan, disebabkan dipengaruhi oleh laporan media Eropah pada masa dulu, dan mereka tak sangka yang teknologi di China begitu maju, khususnya begitu banyak kenderaan elektrik (EV) di China. Malah penduduk China juga sangat ramah dan murah dengan senyuman.

 

Seorang pempengaruh media sosial dari Australia pula menyatakan bahawa selepas selesai melancong ke China, dia baru sedar yang media banyak “menyorokkan” keindahan dan kebaikan China. Sewaktu dia berkongsi gambar yang diambil di China, ibu bapanya terkejut melihat negara China yang sungguh menakjubkan, malah sudah berkembang maju, berbeza dengan Australia.

 

Media Malaysia baru-baru ini ada melaporkan, seiring dengan pelaksanaan dasar pengecualian visa China terhadap banyak negara, seramai 2.95 juta pelancong asing dilaporkan keluar masuk China dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan 2.3 kali ganda berbanding 2023.

 

Dijangkakan bahawa perang maklumat yang dicetuskan media barat dengan sokongan sekutu mereka di Asia akan memasuki fasa baharu, iaitu “peperangan” di antara pelancong yang pernah melawat China dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial, dengan media barat yang sentiasa cuba memburukkan imej China dan disokong oleh sekutu mereka.