Usah Buat Perangai di Laut China Selatan

2024-04-13 16:25:05  CRI
Share with:

Selepas menganjurkan sidang kemuncak trilateral julung kalinya pada Khamis, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Filipina menerusi kenyataan bersama menzahirkan komitmen untuk memperkasa kerjasama pertahanan, di samping melahirkan ‘kebimbangan’ terhadap tindakan China mempertahankan kedaulatan di Laut China Selatan dan Laut China Timur.


Bagi membentuk ‘kumpulan kecil’ baharu, banyak taktik telah digunakan AS kali ini. Sebagai contoh, beberapa aturan kerjasama keselamatan digariskan dalam kenyataan bersama itu antaranya AS dan Jepun akan terus menyokong pembinaan keupayaan Pengawal Pantai Filipina.


Selain itu, ketiga-tiga negara juga mengumumkan pembentukan mekanisme dialog berhubung isu maritim, di samping merancang latihan bersama di perairan sekitar Jepun pada 2025.


Menurut penganalisis, sokongan AS kepada Filipina turut memaparkan niatnya mahu mencetuskan huru-hara di Laut China Selatan. Isu berkenaan dipergunakan AS sebagai dalih untuk mencampuri urusan Asia Pasifik.


Mantan Presiden Filipina Rodrigo Duterte dalam satu temu bual baru-baru ini berkata kehadiran AS menjadikan Laut China Selatan yang dahulunya kekal aman, kini penuh dengan tengkar dan selisih. 


Dengan terus-menerus membangkitkan pertikaian di Laut China Selatan, Filipina ingin mendapat sokongan kuasa besar luar rantau dari segi keselamatan dan ketenteraan, di samping mengaut laba ekonomi.


Mutakhir ini, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menyatakan dirinya tidak mengetahui ‘perjanjian budiman’ yang pernah dicapai antara pentadbiran Rodrigo Duterte dengan China berhubung isu Terumbu Ren’ai, dan mendakwa pihaknya akan meminta penjelasan berhubung hal itu.


Namun menurut penganalisis, China dan Filipina dapat menikmati keamanan justeru dengan adanya aturan tidak rasmi dan sefahaman diam seumpama. Sebaliknya, amalan memprovokasi China dan menjadi buah catur kuasa luar rantau pastinya tidak selaras dengan kepentingan Filipina sendiri.  


China konsisten dalam pendirian menyelesaikan pertikaian berhubung kedaulatan wilayah secara damai menerusi rundingan. Namun, ia tidak bermakna negara Tembok Besar akan membiarkan segelintir kuasa buat perangai.


‘Kumpulan kecil’ AS, Jepun dan Filipina bertindak menyongsong arus apabila ASEAN terus memperkukuh hubungan dengan China. Perbuatan seumpama tentu tidak membawa ‘keselamatan dan kemakmuran’, tetapi bakal mengundang konfrontasi dan ancaman.