Iran Serang Israel, Guterres Seru Tahan Diri Secara Maksimum

2024-04-15 15:01:47  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa pihak-pihak terbabit mengambil sikap rasional dan menahan diri secara maksimum.


Ketika berucap pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB mengenai serangan Iran ke atas Israel pada Ahad, Guterres menunjukkan, rantau Asia Barat kini mendepani risiko berkonflik secara menyeluruh. Keutamaan sekarang adalah untuk meredakan ketegangan dan menahan diri secara maksimum.


Beliau berkata, Piagam PBB melarang penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara.


Pada masa sama, prinsip undang-undang antarabangsa mengenai premis diplomatik dan kakitangan diplomatik yang tidak boleh dicabul mesti dihormati.   


Guterres turut menggesa supaya pihak-pihak terbabit mengelakkan daripada sebarang tindakan yang mungkin mencetuskan konflik ketenteraan berskala besar.


Beliau berkata, masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab bersama untuk mempergiatkan perhubungan dengan semua pihak berkaitan bagi mengelak situasi semasa dari terus memburuk.


Pihak-pihak berkenaan patut berusaha menggerakkan gencatan senjata kemanusiaan serta-merta di Gaza, membebaskan tahanan, dan memastikan kelancaran dan kelangsungan dalam pelaksanaan bantuan kemanusiaan.


"Masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk menyeru menghentikan kekerasan di Tebing Barat, meredakan situasi tegang di sempadan Israel-Lubnan dan memulihkan keselamatan pelayaran di Laut Merah, "kata Guterres.