Konflik Israel-Iran: Pihak Terlibat Diseru Bertenang

2024-04-15 14:30:54  CRI
Share with:

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar mengenai operasi ketenteraan Iran terhadap Israel, atas permintaan Israel, pada Ahad.

Kuasa usaha delegasi China ke PBB, Dai Bing ketika berucap pada sidang itu telah membentangkan pendirian China.


Beliau berkata, sejak tercetusnya konflik di Gaza, masyarakat antarabangsa tidak boleh menerima bencana kemanusiaan di Gaza, di samping menggesa gencatan senjata dilaksanakan dengan segera. Pada masa sama, masyarakat antarabangsa juga menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang semakin memburuk malah meluap ke negara-negara serantau.


Dai berkata, bangunan diplomatik Iran ke Syria mengalami serangan udara pada 1 April lalu, mengakibatkan kematian dan kecederaan pihak Iran. Peristiwa itu membelakangi Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, mencabul kedaulatan Syria dan Iran. 

Pada 13 April, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memaklumkan situasi terkini di rantau tersebut, dan menarik perhatian besar pihak China.


"Menurut kenyataan pihak Iran, operasi ketenteraannya adalah tindak balas terhadap serangan Israel terhadap bangunan diplomatiknya, dan masalah itu boleh dianggap sudah selesai pada masa ini. 


"China menyeru pihak-pihak terlibat supaya bertenang dan bersabar, menyelesaikan percanggahan dan konflik mengikut Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa agar mengelakkan situasi daripada menjadi lebih tegang," kata Dai Bing.

Dai menambah bahawa negara dan rakyat di Asia Barat enggan dan tidak boleh menerima konflik dan peperangan yang berskala lebih besar. 

"Adalah mustahak untuk melaksanakan resolusi 2728 Majlis Keselamatan dan mewujudkan gencatan senjata di Gaza.

"Jalan keluar bagi menyelesaikan kebuntuan pada masa ini adalah melaksanakan 'Penyelesaian Dua Negara' secara menyeluruh. 


"China menyeru masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara yang berpengaruh untuk memainkan peranan membina bagi memelihara kedamaian dan kestabilan serantau," ujar Dai.