Kritikan “Lianhe Zaobao” Terhadap Zhang Weiwei Adalah Merepek

2024-04-16 13:35:14  CRI
Share with:

Canselor Jerman, Olaf Scholz semalam ada melakukan lawatan ke Universiti Tongji di Shanghai. Sebenarnya nama universiti ini mula-mulanya adalah Akademi Perubatan Jerman yang ditubuhkan pada 1907 oleh Erich Paulun yang merupakan seorang doktor berasal dari Jerman. Ketika sesi lawatan, Scholz telah membincangkan beberapa topik yang menarik bersama para mahasiswa, termasuk mengenai perkembangan kenderaan elektrik (EV).

 

Bagaimanapun yang mengecewakan, sehari sebelum itu sebuah akhbar Singapura, “Lianhe Zaobao” telah mengeluarkan ulasan yang menggambarkan mahasiswa-mahasiswa di Universiti Tongji mengagungkan individu secara membuta tuli. Malah akhbar itu turut mendakwa Universiti Tongji sudah kurang suasana mendidik golongan belia untuk memperhatikan ehwal global dan kemanusiaan.

 

Ulasan ini keluar susulan tular beberapa gambar yang memperlihatkan para mahasiswa di universiti tersebut sedang mendengar syarahan seorang sarjana baharu, iaitu Zhang Weiwei.

 

Untuk pengetahuan anda, Zhang Weiwei dahulunya merupakan penterjemah kepada mendiang Deng Xiaoping, pemimpin generasi kedua Republik Rakyat China. Disebabkan itu, beliau sangat memahami dasar pembaharuan dan pintu terbuka negara ini. Malah beliau juga pernah mengikuti pemimpin tertinggi melakukan lawatan ke banyak negara. Zhang Weiwei kini merupakan Ketua Akademi Pengajian China di Universiti Fudan yang berperanan untuk menggalakkan lebih ramai belia negara ini menjadi lebih berkeyakinan selain memahami China sebagai negara gergasi yang mempunyai tamadun yang cukup panjang.

 

Sebenarnya, Satria memang tak faham, mengapa seorang sarjana China yang berkongsi ilmu mengenai pembangunan negara dan menyeru rakyat tempatan supaya lebih berkeyakinan, sangat dibenci oleh sebuah media Singapura?

 

“Lianhe Zaobao” selalu menyifatkan diri mereka sebagai mata atau pihak ketiga yang melihat secara objektif “populasi” Tionghua yang ada di seluruh dunia. Namun, Satria berpendapat, pengulas tersebut tidak langsung pergi ke Universiti Tongji bagi mendengar apa yang dikongsikan Zhang Weiwei dengan para mahasiswa. Sebaliknya, ulasannya hanyalah berdasarkan komen-komen yang diambil dari media sosial China. Ia sekaligus tidak memperlihatkan keprofesionalan dan sikap mereka yang objektif sebagai sebuah media yang berpengaruh di rantau ini.

 

Bukan itu sahaja, penulis terus memperlihatkan diskriminasi jantina di dalam penulisannya, apabila memuji netizen yang mempunyai penglihatan yang “tajam” selepas dapat meneliti kesamaan yang ada dalam gambar tersebut. Katanya, para mahasiswa yang mengelilingi Zhang Weiwei semuanya lelaki, kemudiannya beliau bertindak meremehkan mahasiswa di Universiti Tongji, sebaliknya memuji mahasiswi dengan mengatakan “moral perempuan China lebih tinggi berbanding lelaki”.

 

Satria juga pernah bertanya kepada Ketua Pengarang “Lianhe Zaobao”, mengapa hampir semua wartawan akhbar itu dilihat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari “salah” dan mengkritik China? Beliau berkata, pihaknya memelihara kebebasan penulisan setiap wartawan.

 

Namun, dengan mengupah penulis seperti ini, ia tidak pun membantu untuk memperlihatkan “pandangan bebas” wartawan, sebaliknya secara tidak langsung merendahkan media terbabit.

 

Baru-baru ini Satria ada membaca buku bertajuk “Has China Won?” yang ditulis oleh seorang diplomat senior Singapura, Kishore Mahbuni. Dalam buku itu, beliau memberi pengiktirafan sepenuhnya terhadap kaedah tadbir urus negara di China dan memuji kebudayaan negara ini berikutan pemahaman keadaan sebenar negara ini dari pelbagai aspek. Bagi Satria, Kishore merupakan seorang yang jujur dalam memberi pandangan objektif terhadap kejayaan yang dilakar China.

 

Persoalannya, mengapa “Lianhe Zaobao” tidak menulis rencana yang mengkritiknya dan seterusnya menyifatkan Kishore Mahbuni yang menyembah secara buta?