Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Songkran dan Hari Ketiga Bulan Tiga Etnik Zhuang di China

2024-04-18 16:26:50  CRI
Share with:

Minggu lalu kami mengadakan rumah terbuka di pejabat, sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh masyarakat beragama Islam.

 

Pada minggu sama juga, saya ada menghubungi rakan yang merupakan etnik Zhuang yang tinggal di Wilayah Autonomi Guangxi, katanya dia sedang menikmati cuti pesta hari ketiga bulan ketiga mengikut calendar etnik Zhuang. Lantas segar di ingatan Satria irama lagu yang dinyanyikan Liu Sanjie sempena pesta tersebut yang tidak asing bagi etnik Zhuang di China.

 

Kebetulan pada minggu ini, tular di media sosial mengenai kemeriahan Pesta Songkran yang disambut etnik Dai di provinsi Yunnan. Yang menariknya, pesta ini bukan sahaja disambut oleh etnik Dai, sebaliknya pelancong asing dan selebriti tersohor turut berkampung di Yunnan bagi menyertai “pertempuran air” dengan masyarakat tempatan.

 

Video dan gambar yang turut menjadi tular di luar negara itu juga memperlihatkan polis China membawa pistol air ketika menjalankan tugasan harian mereka, bagi bersedia menghadapi “serangan” pada bila-bila masa.

 

Untuk pengetahuan semua, China mempunyai etnik yang pelbagai dan budaya masing-masing terjaga baik kerana ini merupakan mutiara dalam khazanah budaya China.

 

Sarjana Iraq yang kini menetap di Sweden, Hussein Askary baru-baru ini ada melawat Xinjiang dan berkongsi pengalamannya melalui akaun X.

 

Videonya memperlihatkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di hadapan Masjid Idigar, di bandar Kashgar yang merupakan masjid terbesar di China. Dalam video terbabit, netizen dapat melihat bagaimana masyarakat muslim tempatan meraikan Hari Raya, termasuk suasana di laman masjid yang meriah ketika penduduk tempatan menari beramai-ramai mengikut irama lagu klasik Uygur. Antaranya termasuk lagu “Gadis dari Kota Daban” yang memang rata-rata masyarakat di China boleh nyanyikan, termasuk Satria.

 

Malah, ini merupakan lagu etnik Uygur pertama yang diterjemahkan kepada Bahasa Mandarin.

 

Namun mengecewakan, apabila ada netizen yang terpengaruh laporan media barat yang memutarbelitkan fakta, mengatakan semua kegembiraan pada sambutan tersebut seperti menari di depan masjid hanyalah lakonan sahaja. Tetapi ada juga netizen yang menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan ia pernah melawat Kashgar dan Hotan pada September tahun lalu, serta pernah melihat ramai penduduk etnik Han, Kazakh dan Uygur menari bersama-sama. Dikatakan itu adalah perkara biasa di China.

 

Dalam video lain yang diambil di Korla, bandar berdekatan Taklamakan, iaitu padang pasir kedua terbesar di dunia, Hussein Askary menyatakan yang bandar tersebut membawa kejutan terbesar kepadanya. Sebelum ini, beliau hanya berpendapat kawasan itu merupakan oasis sahaja, namun rupa-rupanya ia adalah “syurga” dunia. Malah, beliau mendapati papan tanda yang ada di Xinjiang, ditulis dengan dwibahasa iaitu Mandarin dan Uygur.

 

Setiap video yang dikongsikan Hussein Askary berjaya menarik lebih kurang 50 ribu netizen. Ada yang meninggalkan komen bahawa mereka juga pernah melawat Korla selama 2 hari pada 2017 dan mereka berkata, sepatutnya mereka berada di sana lebih lama kerana suasana setempat dirasai menarik dan harmoni. Malah ada yang mengatakan “Gaza sepatutnya menjadi seperti ini”.