Xi Mahu Usaha Berterusan Pacu Pembangunan Berkualiti Kawasan Barat

2024-04-24 13:27:29  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menekankan peri pentingnya usaha berterusan dipergiat untuk merintis fasa baharu dalam pembangunan kawasan bahagian barat yang menampilkan kelestarian alam sekitar, keterbukaan lebih besar dan pembangunan berkualiti.


Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, membuat kenyataan itu ketika mempengerusikan simposium mengenai penggalakan pembangunan bahagian barat China pada era baharu, petang Selasa.


Usaha membangunkan industri yang memanfaatkan kekuatan tempatan harus menjadi tumpuan utama, kata beliau sambil menambah adalah perlu untuk menerima pakai pendekatan khas dalam menggerakkan industri memuncul serta mempercepat transformasi dan penaiktarafan perindustrian di bahagian barat.


Xi berkata integrasi antara inovasi teknologi dengan perindustrian harus dipertingkat lagi, sementara memupuk dan mengasah bakat dalam bidang berkenaan serta berusaha mencapai kejayaan untuk menguasai teknologi teras dalam sektor utama.

Langkah-langkah perlu diambil untuk mempercepat penaiktarafan teknologi industri tradisional, memajukan pembaharuan terhadap peralatan dalam industri utama dan mempertajam daya saing industri tradisional, ujar beliau.


Xi mahu melihat perlindungan ekologi bertaraf tinggi menjadi dukungan kepada pembangunan berkualiti, di samping memperkukuh benteng keselamatan ekologi negara.

 

Menurut beliau, mustahaknya untuk menjana pembangunan bahagian barat menerusi keterbukaan yang lebih luas, sekali gus mempercepat pembinaan laluan baharu darat dan laut di kawasan berkenaan.

 

Antara perkara lain yang diberikan penekanan adalah meningkatkan keupayaan dalam memastikan keselamatan tenaga dan sumber lain, menjamin dan menambah baik kebajikan rakyat dalam proses pembangunan serta memelihara perpaduan etnik dan kestabilan kawasan sempadan.