China, Perancis Sedia Tingkatkan Kerjasama Komprehensif
Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Perancis Emmanuel Macron mengadakan rundingan di Istana Elysee, pada petang Isnin.
Xi berkata beliau berbesar hati dapat mengadakan lawatan rasmi kali ketiga ke Perancis sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Beliau menegaskan bahawa China akan mengekalkan komunikasi strategik dengan Perancis, menghormati kepentingan teras masing-masing, dan memperkukuh hubungan dua hala.
"China bersedia mengimport lebih banyak produk bermutu tinggi dari Perancis, menggalakkan mekanisme 'dari ladang Perancis ke meja makan rakyat China' membuahkan lebih banyak hasil pragmatik," kata Xi.
Sementara itu, Xi juga menzahirkan harapan agar Perancis dapat mengeksport lebih banyak produk yang mempunyai teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi ke pasaran China.
"Kedua-dua negara harus meningkatkan koordinasi strategi pembangunan, memperkasakan kerjasama dalam sektor konvensional seperti penerbangan dan angkasa lepas, di samping meningkatkan kolaborasi dalam sektor baharu seperti tenaga nuklear, inovasi, kewangan, tenaga hijau, pembuatan cerdas, bioperubatan, kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain," ujar Xi.
Dalam pada itu, Xi berkata bahawa dasar pengecualian visa China kepada pengembara dari 12 negara termasuk Perancis akan dilanjutkan ke penghujung tahun 2025.
"China mengalu-alukan lebih banyak rakyat Perancis berkunjung ke China," kata Xi.
Macron pula menyatakan, Perancis dan China mempunyai persahabatan yang kukuh dan kerjasama yang saling menguntungkan merangkumi bidang-bidang teknologi canggih, perubahan iklim, kepelbagaian marim dan lain-lain.
"Kedua-dua negara telah menandatangani pelbagai perjanjian sempena lawatan Presiden Xi kali ini, dan ia sekali lagi memperlihatkan prospek kerjasama dua hala yang penuh berpotensi," kata Macron.
Beliau menegaskan bahawa Perancis bersedia mempererat hubungan ekonomi dua hala dan penyelarasan pelbagai hala, agar menggalakkan perkongsian strategik Perancis-China mencapai lebih banyak hasil.