Presiden China, Hungary Adakan Perbincangan

2024-05-09 17:56:58  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Hungary, Sulyok Tamás telah mengadakan perbincangan di Istana Sándor di Budapest pagi tadi waktu tempatan.


Menurut Xi, hubungan China-Hungary kini berada pada tempoh masa terbaik dalam sejarah, persahabatan tradisional kedua-dua negara  berakar umbi dalam hati rakyat dan hasil yang memberangsangkan boleh kelihatan dalam pelbagai bidang. China bersedia bersama dengan Hungary memanfaatkan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara, mewariskan dan menyuburkan persahabatan tradisional, memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan sehingga mendorong hubungan China-Hungary berkembang ke tahap yang lebih tinggi.


“Peluang besar tercipta dalam senario global ketika China mendorong pembangunan negara dan kemajuan bangsa melalui modenisasi ala China. Negara ini bersedia bersama dengan Hungary untuk meningkatkan penyelarasan dalam modenisasi ala China dengan pelaksanaan strategi negara Hungary yang disebut “terbuka ke timur”, meneroka potensi kerjasama, dan memperluas interaksi dalam pelbagai bidang,” kata Xi.


“Sementara itu, China bersedia bersama dengan Hungary menerajui pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan kerjasama China dengan negara-negara Eropah Tengah & Timur. Hungary diharapkan mengambil peluang sebagai negara pengerusi bergilir Kesatuan Eropah (EU) pada separuh tahun kedua tahun ini untuk mendorong hubungan China-Eropah berkembang dengan stabil dan sihat,” tambah Xi.


Sulyok Tamás pula menyatakan bahawa pihaknya konsisten dalam melaksanakan dasar tentang peningkatan kerjasama dengan China. Beliau yakin Perkongsian Strategik Komprehensif Hungary-China pasti akan ditingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi berkat lawatan Presiden Xi di negaranya yang disifatkan sebagai satu detik bersejarah. Memandangkan China mempunyai teknologi dan pengalaman yang mendahului dalam bidang transformasi hijau dan sumber tenaga boleh baharu, Hungary mengalu-alukan lebih banyak syarikat China membuat pelaburan dan melakukan kerjasama di negaranya.