Peng Liyuan Lawat Istana Buda

2024-05-10 11:18:11  CRI
Share with:


Isteri Presiden China Xi Jinping, Prof Peng Liyuan mengadakan kunjungan ke Istana Buda di Budapest, Hungary, ditemani isteri Presiden Hungary Tamas Sulyok, Zsuzsanna Nagy pada Khamis.


Kedua-dua wanita pertama telah mengunjungi pameran tembikar Herend dan pertunjukan teknik sulaman tradisional Hungary. 


Peng berkata, tembikar dan sulaman merupakan simbol bersama bagi tamadun China dan Hungary. Beliau berharap seniman dari kedua-dua negara dapat meningkatkan pertukaran dan saling belajar untuk mendorong integrasi tamadun.


Setelah diberikan taklimat ringkas tentang pembaikpulihan Balai Szent Istvan di Istana Buda, Peng memberikan pujian tinggi terhadap kemahiran pakar Hungary dan berharap kedua-dua negara dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang perlindungan dan pembaikpulihan khazanah budaya supaya peninggalan sejarah dapat diwariskan dengan lebih baik.


Kedua-dua wanita pertama juga sempat minum teh sambil berbual-bual di Istana Buda.


Peng berkata, Hungary ialah sebuah negara indah dan rakyatnya peramah. China dan Hungary mempunyai banyak persamaan dalam budaya masing-masing, sementara itu, rakyat kedua-dua negara mempunyai keakraban yang mendalam, dan asas hubungan persahabatan amat kukuh. 


Beliau berharap hubungan persahabatan antara kedua-dua negara akan kekal abadi.