Kenapa Filipina Selalu Putar Belit Berhubung Isu Laut China Selatan?
Salah satu tips kehidupan yang perlu kita praktikkan ialah dalam perhubungan, kita perlu mencuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari individu yang bermasalah dan tidak mempunyai reputasi yang baik. Begitu juga dalam hubungan antarabangsa. Misalnya, reputasi Filipina kini dilihat sedang merosot ekoran kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos Jr yang dilihat berulang kali memutar belit dan memungkiri janji-janji diplomatik yang dibuatnya.
Bukan sahaja Presiden Marcos Jr, malah Penasihat Keselamatan Negara Eduardo Ano dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro turut menafikan pernah mencapai “peraturan baharu” dengan China mengenai kapal perang era Perang Dunia Kedua milik Filipina BRP Sierra Madre (LT-57) yang “terkandas” di Terumbu Ren’ai sejak 1999. Malah Bloomberg News baru-baru ini ada menerbitkan dialog perbualan telefon antara Panglima Komando Barat Filipina, Alberto Carlos dengan diplomat China pada 3 Januari lalu.
Dalam dokumen tersebut, dikatakan pihak China menuntut Jeneral Filipina itu untuk mengesahkan “peraturan baharu” mengenai bekalan yang dihantar ke BRP Sierra Madre yang “terkandas” di Terumbu Ren’ai, yang dicapai kedua-dua pihak. Menurut peraturan baharu itu, Filipina boleh menghantar satu kapal pengawal pantai dan satu kapal kargo pada setiap kali untuk menghantar bekalan kepada tentera ditempatkan di BRP Sierra Madre, dan perkara itu perlu dimaklumkan kepada pihak China dua hari sebelum ia dilaksanakan.
Alberto Carlos turut berkata, peraturan baharu itu telah disahkan oleh Ketua Turus Tentera Filipina Jeneral Romeo Brawner Jr, Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro, Penasihat Keselamatan Negara Eduardo Ano dan seorang lagi pemimpin negara yang jawatannya lebih tinggi, bagaimanapun identitinya disembunyikan (berkemungkinan besar adalah Presiden Marcos Jr.).
Untuk makluman, peraturan baharu itu telah pun dilaksanakan kedua-dua pihak pada awal tahun ini, sekaligus membantu meredakan ketegangan di Laut China Selatan. Namun selepas itu Filipina melanggar peraturan yang telah dipersetujui kedua-dua negara.
Menjawab mengenai dialog perbualan telefon yang didedahkan dan kemungkinan besar rakaman perbualan yang akan didedahkan, Filipina mendakwa bahawa semua itu boleh “direka”. Malah Jeneral Alberto Carlos yang dikatakan terlibat dalam perbualan tersebut, mendakwa beliau sedang bercuti dan tidak boleh dihubungi.
Sebelum ini, kerajaan Marcos Jr turut menafikan “perjanjian budiman” yang dicapai oleh China dengan bekas presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang berjaya memelihara keharmonian di Laut China Selatan sepanjang penggal pimpinan presiden tersebut. Ketika itu Filipina tidak menghantar bahan binaan untuk memperkukuhkan kedudukan BRP Sierra Madre yang “terkandas” sejak 1999, malah China mengizinkan bekalan kemanusiaan dihantar kepada kru Filipina di dalam kapal tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Marcos Jr dikatakan bukan sahaja terkejut dengan “perjanjian” tersebut, malah berkata akan segera membatalkan perjanjian tersebut sekiranya ia benar-benar wujud.
Pihaknya juga menafikan janji bekas Menteri Luar Filipina, Domingo pada November 1999 yang menyatakan kapal itu hampir siap dibaiki dan akan segera meninggalkan Terumbu Ren’ai dalam tempoh seminggu.
Namun jangan lupa yang Marcos Jr pernah memilih China sebagai destinasi lawatan pertama di luar ASEAN sebelum menjawat jawatan Presiden Filipina. Malah beliau juga merupakan pemimpin pertama yang disambut oleh Beijing pada 2023. Dalam rangka lawatan tersebut, Marcos pernah menyatakan yang akan berusaha mengawal kestabilan di Laut China Selatan.
Hakikatnya, kestabilan di rantau ini amat bermanfaat kepada Filipina dan China, bahkan negara-negara yang lain. Kedua-dua negara menyaksikan pemulihan kerjasama dalam bidang sosioekonomi untuk tempoh 6 tahun kebelakangan ini. Pilihan Presiden Marcos Jr pada ketika itu adalah sangat pragmatik untuk meneruskan dasar Rodrigo Duterte.
Bagaimanapun perubahan sikap Presiden Marcos Jr ini sebenarnya boleh dijangka. Beliau berasal dari satu keluarga politik yang digulingkan ekoran pimpinan diktator dan rasuah yang meluas di Filipina. Kemudiannya bertindak melarikan diri ke Amerika Syarikat(AS) bersama ibu dan bapanya ketika beliau masih muda. Dikatakan sejumlah besar harta keluarga Marcos dikawal oleh AS, termasuk dana yang menyokong Ferdinand Marcos Jr dan ibunya untuk kembali ke arena politik Filipina.
Itulah hal ehwal dalaman Filipina, tapi ia telah membawa impak kepada hubungan bilateral China-Filipina bahkan situasi serantau.
Meskipun dahulu Presiden Marcos Jr. mungkin benar-benar mahu menjaga kestabilan di laut China Selatan, namun hakikatnya ia bertentangan dengan agenda AS di Asia, dan ia tidak mampu melawan tekanan dari AS, sehingga mengakibatkan kedamaian Laut China Selatan ini sukar direalisasikan.