China Bantu Laos Siapkan Platform E-dagang Luar Bandar

2024-05-14 14:57:40  CRI
Share with:

Platform e-dagang luar bandar Laos yang dibina atas bantuan China dilancarkan di Vientiane pada Isnin.


Platform perdagangan elektronik itu merupakan sebahagian daripada lapan projek bantuan utama yang dilaksanakan China di Laos.


Dengan menerima pakai pengalaman China mengendalikan sistem e-dagang luar bandar dan mengambil kira keperluan setempat, projek berkenaan akan membantu Laos meningkatkan eksport hasil pertanian dan menjana pendapatan petani.


Projek itu turut merangkumi penaiktarafan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, program latihan personel, pembinaan pusat perkhidmatan mesra rakyat dan sebagainya.


Menteri Industri dan Perdagangan Laos, Malaithong Kommasith menzahirkan penghargaan atas bantuan dan sokongan teknikal yang diberikan China kepada Laos.


Beliau menyifatkan projek bervisi jauh itu akan membantu Laos merealisasikan transformasi digital dan menambah baik kesejahteraan rakyat.


Kuasa Usaha Sementara Kedutaan China di Laos, Wang Chang berkata projek berkenaan digerakkan sebagai langkah penting untuk melaksanakan pelan tindakan lima tahun baharu berhubung pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Laos.


Menurutnya, ia juga 'saluran baharu' bagi menggalakkan lebih banyak hasil pertanian, produk perindustrian dan kraf tangan Laos dieksport ke China sekali gus meningkatkan kelancaran aktiviti perdagangan dan kesalinghubungan digital antara kedua-dua negara.