Q&A tentang LCS: Siapa Tengah Ubah Status Quo Terumbu Ren'ai?
Mutakhir ini, Penasihat Keselamatan Negara Filipina Eduardo Ano, Setiausaha Pertahanan Gilberto Teodoro dan kementerian luar negara itu masing-masing menerusi kenyataan mendakwa tiada sebarang perjanjian berhubung isu Terumbu Ren'ai dicapai antara Manila dengan Beijing.
Pada 9 Mei 1999, Filipina menempatkan kapal perang 'Sierra Madre' miliknya secara haram di Terumbu Ren'ai.
Semasa tempoh pentadbiran Rodrigo Duterte, China dan Filipina telah mencapai 'perjanjian budiman' mengenai Terumbu Ren'ai sebagai usaha menstabilkan situasi di Laut China Selatan.
Filipina berjanji tidak menghantar bahan binaan kepada kapal perang itu. Dari sudut kemanusiaan, China membuat aturan khas sementara untuk membolehkan bekalan barang keperluan harian disalur Filipina kepada kapal terbabit.
'Perjanjian budiman' itu bukanlah sesuatu yang sulit dan tiada kaitan dengan pendirian kedaulatan masing-masing.
Justeru, kedua-dua negara memilih untuk mengetepikan pertikaian, menghapuskan gangguan luar dan menggalakkan pemulihan hubungan dua hala.
Pada awal tahun ini, China berulang kali berunding dengan pihak tentera Filipina melalui saluran diplomatik sehingga mencapai 'model baharu' penghantaran barang keperluan ke Terumbu Ren'ai.
Negara itu berjanji akan memberi notis kepada China dua hari sebelum penghantaran dilakukan yang hanya membabitkan makanan, air minum dan barang kemanusiaan lain.
Semasa penghantaran, China dan Filipina akan masing-masing mengerahkan sebuah kapal pengawal pantai dan kapal awam untuk ikut terlibat dalam tugas berkenaan, di samping mengekalkan komunikasi rapat.
Walau bagaimanapun, selepas pelaksanaan hanya sekali sahaja, 'model baharu' itu langsung diingkari Filipina.
Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian menegaskan tercapainya 'perjanjian budiman', persefahaman dalaman dan 'model baharu' antara China dan Filipina, satu fakta yang tidak boleh dinafikan.
Menurut beliau, siri konsensus seumpama bertujuan mengawal perselisihan, mengelakkan konflik, memupuk rasa saling percaya serta memelihara keamanan dan kestabilan perairan berhampiran Terumbu Ren'ai.
Filipina digesa supaya mematuhi norma asas perhubungan antarabangsa, menghormati fakta, menepati janji, memberhentikan tindakan provokasi dan kembali ke meja rundingan.