Dimana Janji-janji Joe Biden? Adakah Takut Dengan Bayang Sendiri?

2024-05-20 12:52:42  CRI
Share with:

Dalam kempen pilihan raya pada 2019, Joe Biden ada mengecam tindakan Presiden Donald Trump yang mengenakan tarif tambahan kira-kira 25% terhadap produk yang bernilai lebih USD300 bilion dari China. Katanya Trump tidak mempunyai pengetahuan ekonomi yang asas kerana tarif tersebut sepatutnya dibayar oleh Amerika Syarikat(AS) sendiri.

 

Bagaimanapun selepas Biden dipilih sebagai Presiden AS, isu tarif tersebut masih lagi dibahaskan sehingga kini. AS berdepan kadar inflasi yang tinggi dan tindakan menurunkan tarif ke atas produk China dilihat kondusif bagi mengatasi masalah tersebut. Namun agak mengejutkan, selepas keputusan perbahasan kerajaan pimpinan Biden diumumkan, kebanyakan tarif tambahan sewaktu pimpinan Trump masih lagi dikekalkan. Bukan itu sahaja, AS turut meningkatkan tarif terhadap kenderaan elektrik (EV) China kepada 100% berdasarkan “Seksyen 301”. Malah tarif tambahan turut dikenakan terhadap bateri litium, tenaga solar serta produk semi konduktor dan lain-lain.

 

Persoalannya benarkah untuk melindungi industri di AS? Atau adakah untuk kepentingan pengguna di negara itu? Yang pasti, segala “kata-kata manis” Biden pada 2019 dan apa yang dilakukannya sehingga kini hanyalah untuk “pancing undi” bagi setiap kali berlangsungnya pilihan raya, dengan menjadikan China sebagai alasan.

 

Tindakan Biden tersebut, bukan sahaja menafikan segala apa yang pernah diungkapkannya, malah turut melanggar peraturan yang termaktub dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

 

Sebelum ini China pernah mengemukakan aduan di WTO mengenai tindakan AS yang menyalahgunakan Seksyen 301 dengan mengenakan tarif tambahan terhadap produk China. WTO pada 2020 memaklumkan bahawa Seksyen 301 telah melanggar peraturan yang ditetapkan ke atas anggota WTO.

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula ada mengeluarkan kenyataan mengecam tarif tambahan baharu yang dikenakan AS terhadap produk China baru-baru ini dan menyifatkan tindakan tersebut akan menjejaskan rantaian bekalan, pertumbuhan dan kestabilan ekonomi global.

 

Pelapor Khas PBB bagi Kesan Negatif Tindakan Paksaan Sepihak Terhadap Kebebasan Hak Asasi Manusia, Profesor Alena Douhan turut menjalankan siasatan berhubung isu ini. Hasil siasatannya selama 12 hari di China mendapati sekatan unilateral terhadap kerajaan, syarikat dan individu di China adalah melanggar undang-undang antarabangsa. Selain itu, ia turut menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat China, sekaligus mengganggu pertukaran dan kerjasama dalam bidang sosiobudaya serta sains dan teknologi.

 

Alasan tarif tambahan 100% yang dikenakan AS ke atas EV China adalah demi melindungi perusahaan pembuatan AS. Sebenarnya sebelum ini, EV China telah dikenakan tarif tambahan yang tinggi iaitu 25%, dan mengakibatkan banyak syarikat China menolak untuk menembusi pasaran AS. Bagaimanapun pada suku pertama tahun ini, satu syarikat China iaitu Geely mengeksport sebanyak 2,217 unit kereta bagi pasaran AS. Justeru, tarif tambahan yang lebih tinggi atas EV China kali ini dilihat hanya untuk memperkukuhkan imej Joe Bidan bagi kempen pilihan raya semata-mata.

 

BYD selaku syarikat EV terbesar dan bateri kedua terbesar di China, dengan jelas menyatakan tidak berminat terhadap pasaran AS ekoran risiko yang tinggi. Namun pihaknya ada mengingatkan bahawa sekatan AS hanya akan memperlahankan promosi EV di negara itu, malah pengguna tempatan juga tidak berpeluang untuk memilih produk yang lebih murah dan berkualiti. Selain menyatakan pendekatan “kotor” yang dilaksanakan AS, jelas mencerminkan hipokrasi negara itu.

 

Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo selaku pegawai yang menggubal dasar perdagangan pada entiti ekonomi terbesar di dunia itu, ada mengeluarkan kenyataan lucu yang berbunyi:

 

“EV China seakan iPhone yang beroda, mampu mengumpulkan semua maklumat pengguna dan infrastruktur AS, bahkan kerajaan China mampu ‘mematikan’ semua EV buatan mereka di AS”.

 

Jadi adakah negara-negara lain juga patut segera melarang penggunaan iPhone dan Tesla buatan AS atas alasan “keselamatan negara”?

 

Yang lebih parah lagi, Raimondo ketika ditemubual menerusi satu program televisyen menyatakan, secara dasarnya adalah dilarang untuk mengeksport cip berteknologi tinggi kepada China, sebaliknya hanya mengeksport cip yang murah ke China bagi menghancurkan industri cip di negara itu. Sasarannya pada 2030, AS menjadi satu-satunya negara yang mampu menghasilkan cip baharu.

 

Namun sedar atau tidak, lebih 90% cip dari AS merupakan keluaran TSMC iaitu syarikat Taiwan, China. Malah, jangan dilupa, Joe Biden berulang kali menegaskan kerajaannya kekal dengan dasar satu China dan tidak menyokong cubaan "kemerdekaan Taiwan" dan tidak berniat menyekat pembangunan China.

 

Itulah “tindakan pasaran” AS? Itulah reputasi Joe Biden?