Tragedi “Fat Cat”: Ini Kisah Yang Sebenarnya Berlaku

2024-05-22 16:57:14  CRI
Share with:

Ramai kawan-kawan telah tanya Satria mengenai tragedi "Fat Cat", seorang pemain permainan dalam talian China. Amat mengejutkan ketika diberitahu tragedi ini telah menarik tumpuan ramai sehingga tular di platform media sosial Asia Tenggara.

 

Bagaimanapun, laporan siasatan yang dikeluarkan polis baru-baru ini mengejutkan ramai pihak kerana amat berbeza dengan ‘kisah” yang tular di media sosial sebelum ini. Justeru Satria berasa terpanggil untuk memberikan sedikit penjelasan berhubung tragedi ini, kerana ramai kawan-kawan Satria dari Asia Tenggara yang bertanya mengenai kisah “Fat Cat”.

 

Untuk pengetahuan semua, “Fat Cat” dan kekasihnya, Tan berkenalan melalui permainan dalam talian pada 2021. “Fat Cat” dikenali ramai kerana dia selalu membantu ramai pemain. Difahamkan “Fat Cat” dan Tan sudah bercinta lebih 2 tahun dan sudah berjumpa keluarga pasangan masing-masing. Malah “Fat Cat” sanggup berpindah ke Chongqing yang merupakan kampung halaman Tan. Pada sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut Februari tahun ini, Tan  telah membawa “Fat Cat” pulang ke kampung halamannya dan memperkenalkan lelaki itu kepada ibu bapa serta kawan-kawan yang lain.

 

Menurut laporan siasatasan pihak polis, pasangan ini bergaduh pada awal April. Tan telah menghantar mesej kepada “Fat Cat” meminta untuk memberinya ruang sementara waktu untuk bertenang. Tak sangka “Fat Cat” kemudiannya membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Yangtze pada 11 April.

 

Hasil siasatan polis mendapati, transaksi melibatkan kedua-dua pihak adalah normal. Sejak November 2021 hingga April 2024, “Fat Cat” telah melakukan lebih 300 kali transaksi wang kepada Tan yang berjumlah RMB799 ribu. Manakala wang berjumlah RMB297 ribu dihantar oleh Tan kepada “Fat Cat” menerusi lebih 100 kali transaksi dalam tempoh sama. Bukan itu sahaja, Tan turut menghantar RMB30 ribu kepada Liu, kakak perempuan “Fat Cat” dan RMB136 ribu kepada bapa “Fat Cat” selepas pemuda itu membunuh diri.

 

“Fat Cat” dan Tan juga dikatakan telah bersama-sama membuka tabung pasangan di platform Alipay. Difahamkan “Fat Cat” telah menyimpan sebanyak RMB173 ribu dalam tabung tersebut dan menggunakan wang sebanyak RMB248 ribu. Manakala Tan menyimpan sebanyak RMB236 ribu dalam tabung bersama tersebut dan hanya menggunakan RMB165 ribu.

 

Pasti ramai tertanya-tanya, bagaimana kisah “Fat Cat” menjadi begitu tular di media sosial kan? Menurut sumber, kakak perempuan “Fat Cat” bernama Liu telah memperbesarkan kisah adiknya itu. Malah dia telah membayar agensi profesional untuk menulis jalan cerita, melakukan siaran langsung selain membayar platform tertentu untuk memperoleh lebih banyak capaian daripada netizen. Dalam tempoh kurang sebulan, pengikutnya di media sosial meningkat dari 263 orang kepada lebih 2.9 juta.

 

Selepas meneliti laporan polis berhubung tragedi “Fat Cat”, jelas menunjukkan transaksi yang berlaku antara pasangan tersebut adalah normal dan tiada sebarang penipuan atau scam yang dilakukan oleh pihak Tan. Pandangan Satria dalam isu ini ialah kita perlu sayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain. Kedua, kita patut meneliti maklumat dari media sosial secara rasional.

 

Punca pendapatan “Fat Cat” adalah dengan membantu netizen lain menerusi permainan dalam talian. Jadi, berkemungkinan besar, kebanyakan waktunya banyak dihabiskan di rumah sahaja, justeru kurang bersosial dengan dunia luar. Ini mungkin menyebabkan faktor ketahanan mentalnya tidak begitu baik sehingga memilih untuk membunuh diri ketika berhadapan dengan masalah hubungan seperti ini. Malah, bagi Satria, kenapa tragedi ini begitu tular sehingga ke luar negara disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh media sosial selain kurangnya hubungan dengan dunia luar yang sebenar. Ini sememangnya menjadi satu masalah khususnya dalam kalangan belia.

 

Namun, banyak juga pandangan berbeza dari netizen-netizen di luar negara. Seorang individu dari Jerman misalnya, dia mendapati “Fat Cat” mampu menjana pendapatan kira-kira RMB30 ribu sebulan, justeru dia berpendapat ekonomi China cukup dinamik dan menawarkan banyak peluang kerja yang baharu dalam pelbagai bidang.

 

Malah ada juga yang berpendapat, hubungan ekonomi antara sepasang kekasih tidak mungkin berjumlah begitu besar di negara lain. Ini mungkin disebabkan oleh konsep unik di China, di mana pihak lelaki perlu menyediakan harta yang banyak sebelum bernikah.