Li Qiang, Fumio Kishida Bertemu di Seoul
Perdana Menteri China, Li Qiang dan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida mengadakan pertemuan di Seoul pada malam Ahad lalu.
Li Qiang menyatakan bahawa seawal bulan November tahun lalu, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pernah mengadakan pertemuan di San Prancisco dan turut mencapai konsensus penting, yang dilihat sebagai peneraju dalam bidang politik bagi mengenalpasti semula dan mendorong hubungan bilateral yang bersifat strategik dan saling menguntungkan. Jepun diharap menunaikan janjinya dan berhemah menangani isu sejarah dan isu Taiwan, mengambil tindakan yang sejajar dengan aspirasi China dalam membina hubungan bilateral yang konstruktif dan stabil yang bertepatan dengan matlamat zaman baharu.
Li menyatakan bahawa kerana isu pelepasan air sisa radioaktif dari Loji Fukushima ke laut berkait rapat dengan kesihatan umat manusia, China berharap agar Jepun memikul tanggungjawab dan kewajibannya secara substantif.
Fumio Kishida menyatakan bahawa hubungan dua hala yang konstruktif dan stabil bukan sahaja berfaedah bagi Jepun dan China bahkan seluruh dunia. Jepun bersedia mengekalkan dan meningkatkan momentum yang baik dalam kerjasama dengan China, dan menggerakkan hubungan strategik yang saling menguntungkan Jepun-China dengan menyeluruh.
Kedua-dua pihak bersetuju memperkasa dialog dan komunikasi di pelbagai peringkat, mengadakan dialog ekonomi peringkat tinggi dan mesyuarat mekanisme perundingan sosiobudaya peringkat tinggi untuk pusingan baharu pada masa yang sesuai.