Xi Balas Surat Pelajar "Projek Seratus Sekolah" di UAE
Presiden China Xi Jinping membalas surat dari wakil pelajar yang mengikuti "Projek Seratus Sekolah" pendidikan bahasa Mandarin di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Xi menggalakkan mereka mempelajari bahasa Mandarin dengan baik, memahami China, dan memberikan sumbangan untuk memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara.
Beliau dalam surat balasnya berkata, pada lima tahun lalu, beliau dan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan bersama-sama melancarkan "Projek Seratus Sekolah" di UAE.
"Kini pembelajaran bahasa Mandarin telah menjadi trend baharu di UAE, dan duta-duta kecil bagi pertukaran China-UAE dipupuk, seperti kamu, saya amat gembira," kata Xi.
Di samping menekankan golongan muda adalah masa depan persahabatan China-UAE, Xi turut mengalu-alukan para pelajar untuk datang ke China untuk melihat panda, mendaki Tembok Besar, dan melanjutkan pengajian di universiti di China.
Beliau juga melahirkan harapan agar lebih ramai remaja UAE dapat belajar bahasa Mandarin, mengetahui China, bertukar dan saling belajar dengan remaja China, agar menyemai benih persahabatan di hati mereka dan memberikan sumbangan kepada masa depan hubungan China-UAE yang lebih indah.
Pada Julai 2019, disaksikan Presiden Xi Jinping dan Putera Mahkota Abu Dhabi UAE ketika itu Sheikh Mohamed, kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman di Beijing, melancarkan program pendidikan bahasa Mandarin "Projek Seratus Sekolah" di UAE.
Setakat ini, sebanyak 171 sekolah di UAE membuka kurikulum bahasa Mandarin yang melibatkan 71,000 pelajar.