China, Malaysia Komited Eratkan Hubungan Bilateral

2024-05-30 11:40:26  CRI
Share with:

China komited bersama dengan Malaysia mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, menegakkan hala tuju yang betul bagi kerjasama Asia Timur, dan bersungguh-sungguh melindungi persekitaran pembangunan yang menguntungkan serantau.

Demikian kata Perdana Menteri China, Li Qiang semasa ditemui Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China pada Rabu.


Li Qiang menegaskan, China bersedia untuk memperkasakan koordinasi dengan Malaysia dalam pelaksanaan strategi pembangunan negara masing-masing, melaksanakan projek-projek utama di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), meneroka potensi kerjasama dalam bidang baharu muncul seperti ekonomi digital dan kenderaan elektrik bateri (BEV), dan memperluaskan skala perdagangan bagi mewujudkan situasi sama menang.


Beliau mencadangkan kedua-dua pihak meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang sosiaobudaya yang melibatkan pendidikan, kebudayaan dan golongan belia.

Zahid pula menzahirkan harapan agar bersama dengan China menjayakan aktiviti-aktiviti meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara, memperhalusi kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pelaburan, pendidikan vokasional dan pembangunan mampan, meningkatkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya bagi mendorong perkongsian strategik komprehensif Malaysia-China berkembang dengan mampan.


Beliau menyatakan, pihaknya konsisten dalam mengamalkan dasar satu-China, mengutuk "Sinophobia" dalam semua bentuk, dan komited memastikan hubungan Malaysia-China tidak terganggu atau terpengaruh oleh mana-mana kuasa asing.  


Beliau menambah, Malaysia juga komited untuk mendorong kemajuan dalam rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan China untuk mengukuhkan koordinasi dan kerjasama dalam menangani hal ehwal serantau dan antarabangsa.