Hubungan Malaysia-China Sangat Luar Biasa – TPM Malaysia

2024-05-31 22:49:08  CRI
Share with:


Malaysia menyaksikan pembangunan pesat ekonomi China dan bersedia untuk merebut peluang memperkukuhkan kerjasama dengan negara tembok besar itu.

 

Hasrat itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi temubual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) di Beijing pada Khamis.

 

Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan hubungan Malaysia-China adalah sangat luar biasa dengan rangka pertukaran peringkat tertinggi yang semakin bertambah, malah kerjasama dalam pelbagai bidang juga kekal utuh sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada lima dekad yang lalu.

 

Ahmad Zahid mengadakan lawatan rasmi ke China bermula 22 Mei hingga 1 Jun sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang disambut pada 31 Mei 2024.

 

Beliau berkata pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara Malaysia dengan China bukan sahaja kondusif bagi mengeratkan jalinan dan hubungan antara kerajaan namun ia juga berfaedah dalam memperkukuhkan bidang perdagangan dan ekonomi.

 

"Kita mengambil langkah, terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), dengan lawatan tumpuan saya untuk mencari peluang penghantaran pelajar-pelajar Malaysia bagi mengikuti kursus-kursus TVET di negara ini, telah mendapat maklum balas yang cukup baik. Kerjasama yang ikhlas ini harus dilakukan dan direalisasikan dengan menjalin banyak lagi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan rakyat kedua-dua negara," kata beliau lagi.

 

Dalam pada itu beliau juga berkata, hubungan antara UMNO dan Parti Komunis China (PKC) juga adalah hubungan yang lama.

 

"Kita menghormati falsafah dan ideologi Parti Komunis China. Yang penting kita belajar ekosistem kepada negara China dan negara China juga sangat menghormati ekosistem yang ada di Malaysia," kata beliau lagi.

 

Menyentuh tentang tatatertib antarabangsa, Ahmad Zahid berpendapat, negara barat banyak berprasangka terhadap negara timur dalam propagandanya selain cuba untuk memecahbelahkan negara ASEAN.

 

Dalam temubual tersebut, beliau turut mengiktiraf prinsip China yang saling hormat-menghormati, melakukan rundingan sama rata dan selain mementingkan kerjasama menang-menang. Malah sebagai negara gergasi yang paling rapat dengan Malaysia, China tidak pernah menakluki mana-mana negara, sebaliknya mengutamakan sektor perdagangan dan ini pastinya sesuatu yang patut dipuji dan dihormati.