Xi, Agong Malaysia Saling Ucapkan Tahniah Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik

2024-05-31 16:24:23  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar saling menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan ulang tahun ke-50 ikatan diplomatik kedua-dua negara hari ini.


Xi berkata, China dan Malaysia merupakan negara jiran yang mempunyai persahabatan yang bersejarah seribu tahun, sahabat yang sejiwa sehati, dan rakan yang bekerjasama demi pencapaian yang sama menang. Pada 2023, kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat yang penting untuk membina bersama komuniti berkongsi nasib China-Malaysia yang menandakan bermulanya satu fasa baharu dalam hubungan bilateral. 


Menurut Xi, beliau menerima sepucuk surat dari pelajar Malaysia yang sedang belajar di Universiti Tianjin China baru-baru ini, dan diberitahu bahawa mereka bercita-cita untuk menjadi penyebar dan pendorong persahabatan Malaysia-China, dan memberi perkhidmatan bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib Malaysia-China dengan keiluman dan kemahiran yang dikuasai.


"Saya berbesar hati melihat ada pewaris untuk meneruskan usaha persahabatan kedua-dua negara," kata Xi. 


Beliau menekankan bahawa hubungan China-Malaysia sedang berada di titik permulaan sejarah yang baharu. 


"Saya bersedia bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memimpin pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia supaya ia dapat terus mencapai hasil baharu demi manfaat rakyat kedua-dua negara, malah memberi sumbangan yang lebih besar kepada kemakmuran dan kestabilan serantau di samping melakar kecemerlangan dalam perkembangan hubungan China-Malaysia untuk tempoh 50 tahun akan datang," tambah Xi.


Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula berkata, Malaysia dan China sentiasa saling menghormati dan mempercayai sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 50 tahun yang lalu, dan beturut-turut mencapai kemajuan dalam mengembangkan hubungan bilateral. Malaysia kekal teguh dalam berganding bahu dengan China untuk bersama-sama mewujudkan kemakmuran demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.


Pada hari yang sama, Perdana Menteri China, Li Qiang dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga masing-masing telah menzahirkan ucapan tahniah. Li menyatakan kesediaan pihak China untuk berusaha bersama dengan Malaysia untuk mengintensifkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing, memperluas kerjasama saling menguntungkan, dan membantu rakyat kedua-dua negara saling mengenali hati budi.


Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, sejak menjalinkan hubungan diplomatik, Malaysia dan China telah melakar pencapaian yang signifikan berdasarkan prinsip saling menghormati dan mempercayai. Lawatan peringkat tinggi dan berlangsungnya pelbagai aktiviti peringatan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, memperlihatkan kedua-dua negara mempunyai perkongsian yang berspesifikasi tinggi dan bermakna besar dari segi strategi.