TVET di China Perlu Dijadikan Contoh – TPM

2024-05-31 14:48:19  CRI
Share with:

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan negara China sebagai contoh yang baik kepada Malaysia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).


Beliau berkata China mempunyai potensi TVET yang cukup besar malah institusi pengajian di China juga memfokuskan untuk mewujudkan pendidikan yang sesuai bagi sektor pekerjaan dan teknologi.


"Potensi TVET cukup besar, selain China saya juga lawat Jepun dan Jerman. Ini 3 negara yang fokus wujudkan pendidikan dalam kerja dan teknologi dalam TVET. Beifang selama 15 tahun dah keluarkan 15 ribu pelajar TVET."


Malah beliau juga memuji sistem TVET di China yang meletakkan 20 peratus pembelajaran di kelas dan 80 peratus di makmal atau ruang kerja.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang kini berada di Beijing sempena lawatan rasmi ke China sejak 22 Mei lalu berkata lawatannya kali ini bukan hanya lawatan bilateral biasa, sebaliknya beliau juga telah menyaksikan beberapa perjanjian antara badan-badan pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), GIATMARA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan rakan strategik di China.


Beliau berkata respon dari China, sama ada kerajaan, syarikat malah institusi pendidikan sangat memberangsangkan. Baginya ini merupakan sesuatu yang luar biasa kerana beliau tidak menyangka respon yang diterima sangat pantas malah peluang yang diberikan kepada Malaysia juga sangat banyak.


"Ini penting untuk kita terjemahkan dari segi penyediaan guna tenaga yang bersifat tidak bergantung kepada intensif buruh tetapi ilmu dan teknologi, untuk itu perjanjian yang ditandatangani perlu tetapkan tarikh perlaksanaan kerana kita perlu sediakan tenaga kerja dalam bidang-bidang diceburi syarikat-syarikat dari China dan rakan kongsi dengan Malaysia".


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media di Beijing semalam. Beijing merupakan destinasi terakhir dalam rangka lawatan rasmi kali ini.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan lawatan rasmi ke China dari 22 Mei hingga 1 Jun atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke China, sejak beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Disember 2022.


Lawatan ke China dimulakan dengan kunjungan ke Hong Kong pada 22 Mei, diikuti Shenzhen dan Shanghai.