China, Libya Diharap Jadi Rakan Pelaburan
China dan Libya diharap menjadi rakan pelaburan, sekali gus menjadikan Libya sebagai pintu bagi negara Tembok Besar untuk memasuki pasaran Afrika.
Harapan itu dizahirkan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional Libya merangkap Menteri Luar Abdul-Hamid Dbeibah dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Dbeibah berkata Libya digelar sebagai 'pintu Afrika' kerana kedudukannya dari segi geografi.
Libya sedang merencanakan sebilangan projek penting termasuk pembinaan jalan raya menghubungkan Afrika dengan Laut Mediterranean dan mengalu-alukan pelaburan serta kerjasama untuk projek berkenaan.
"Banyak kawasan di Libya kaya dengan sumber tenaga suria. Kami (Libya) sedang merancang sebuah projek janakuasa suria untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Eropah Selatan.
"Kami juga merancang untuk membina lapangan terbang dan landasan kereta api yang menghubungkan seluruh benua Afrika," kata beliau sambil menyifatkan prospek pelaburan di Libya sangat meluas dan penuh berpotensi.
Menurut Dbeibah, dunia yang unipolar pasti menuju ke arah tidak masuk akal, manakala yang multipolar akan membawa keseimbangan buat dunia.
Beliau menyatakan China antara kuasa yang penting, seimbang dan adil dalam dunia multipolar, dengan pendirian tidak ingin berkonflik.
"Sudah dibuktikan bahawa negara Tembok Besar merupakan penyumbang kepada kehidupan yang indah," kata Dbeibah.