Barat Perlu Faham Hasrat China Untuk Bina Dunia Yang Aman Dan Harmoni

2024-06-04 15:13:40  CRI
Share with:

Pada minggu lalu, ketika menghadiri Malam Gala Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, Satria berpeluang untuk berjumpa dengan Jeryl Lee Pei Ling, penyanyi Malaysia yang sangat digilai oleh rakyat China.

 

Jeryl Lee merupakan seorang yatim piatu berbangsa India tapi dibesarkan oleh keluarga Cina. Ketika menyertai satu pertandingan nyanyian di China, Jeryl Lee ada berkongsi mengenai kisah kehidupannya. Jeryl Lee berkata, ibunya pernah berkata kepadanya yang dia sudah tua dan mungkin tidak dapat menemani Jeryl Lee sepanjang masa, justeru dia meminta Jeryl Lee mencari siapakah ibu bapanya yang sebenar. Namun Jeryl Lee menjawab yang dia hanya ada seorang ibu, iaitu individu yang membesarkannya.

 

Memetik buku klasik China yang ditulis pada lebih 2000 tahun yang lalu, ada menyebut mengenai Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan yang menyatakan, tidak kisah anda seorang yatim piatu, duda, balu atau orang kurang upaya, semuanya akan dibela dan dijaga. Bukan itu sahaja, ketaatan terhadap ibu bapa juga ada dalam tradisi masyarakat Cina, malah ia merupakan nilai baik yang turut diamalkan di seluruh dunia.

 

China dan Malaysi yang telah terhubung sejak ratusan tahun dahulu mempunyai sejarah dan budaya masing-masing, dan mempunyai nilai yang serupa.

 

Ketika menemuramah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu, beliau ada menyatakan bahawa China merupakan negara yang aman dan harmoni serta dalam lipatan sejarah membuktikan China tidak pernah menakluki negara lain.

 

Bukan itu sahaja, bekas Menteri Luar Singapura, George Yong-Boon Yeo dalam ucapannya baru-baru ini ada memaklumkan, ketika berhubung atau bekerjasama dengan China, orang Barat perlu mempunyai “礼”, iaitu sopan santun. Jika memperlihatkan sikap kesopanan dari negara lain, China akan bertindak balas lebih baik lagi, kerana percaya nilai sopan santun tersebut berupaya membuahkan persahabatan dan keharmonian.

 

Malah, setiap kali pemimpin China mengadakan lawatan ke negara lain, pasti mereka akan cuba memahami budaya negara tersebut. Selain itu, mereka juga akan menggunakan peribahasa, pepatah atau puisi tempatan dalam ucapan mereka.

 

Seperti ucapan Presiden Xi Jinping menerusi pautan video pada Sidang Kemuncak APEC ke-27 yang berlangsung pada tahun 2020, beliau memetik pepatah Malaysia iaitu “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”.

 

Manakala ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Bali, Indonesia pada 2022, Presiden Xi menggunakan pepatah Indonesia “Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai”.

 

Dalam budaya tradisional China juga ada pepatah yang bermaksud hampir sama, seperti “同舟共济”dari Seni Perang Sun Tzu.

 

Kita orang timur berusaha saling memahami untuk membina komuniti yang harmoni dan damai. Malah tidak dinafikan, Barat juga amat berminat untuk menyelidik buku klasik China.

 

Orang China mendapati inti sari “kerjasama” dari buku mengenai taktik pertempuran.

 

Pentagon baru-baru dikatakan telah mengeluarkan belanja untuk membeli 600 jilid buku China bertajuk “7 Buku Klasik Ketenteraan Zaman Silam China” yang disusun pada lebih 1000 tahun yang lalu. Mungkin tujuan mereka adalah untuk berperang dengan China sahaja.

 

Diharapkan pegawai ketenteraan AS yang membaca buku7 Buku Klasik Ketenteraan Zaman Silam China” dapat memahami maksud sebenar yang dinyatakan dalam buku tersebut. Perang merupakan hal yang sangat penting dan serius bagi sesebuah negara, ia mengenai pengorbanan rakyat dan negara. Ia merupakan sesuatu yang perlu diteliti sebelum memulakannya. Hakikatnya, taktik pertempuran China pada zaman silam hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk mengelakkan tercetusnya perang.

 

Kedamaian justeru antara ciri khas penting dalam tamadun China.