Sedia Bentuk Sinergi Galak Pembangunan Inovatif Tenaga Nuklear: Wakil China

2024-06-05 14:05:29  CRI
Share with:

China bersedia bersinergi dengan semua pihak terlibat untuk mempergiat pembangunan inovatif teknologi tenaga nuklear dan memastikan hasilnya dapat dinikmati lebih banyak negara.


Demikian dinyatakan Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Tenaga Atom China (CAEA), Liu Jing ketika berucap dalam mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, pada Isnin.


Liu berkata China amat mementingkan peranan utama tenaga nuklear dalam pembangunan mampan global.


"Kami giat membangunkan tenaga nuklear secara selamat dan teratur, dan menjadikannya komponen penting dalam membina sistem tenaga baharu serta mencapai matlamat puncak karbon dan neutral karbon," ujar beliau.


Menurut beliau, China menitikberatkan isu keselamatan nuklear dan terus meningkatkan tahap keselamatan fasiliti serta bahan berkenaan.


Antara usaha yang dipergiatkan termasuk meningkatkan tahap keselamatan operasi dan kualiti pembinaan loji kuasa nuklear, serta memperhebat keupayaan dalam memerangi keganasan nuklear.


Tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 keanggotaan China dalam IAEA. 


Sepanjang empat dekad lalu, China mendukung pelbagai inisiatif disyorkan IAEA menerusi tindakan praktikal, di samping menghulurkan sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada negara membangun lain.


Liu berkata China sudi bekerjasama dengan pihak terbabit termasuk IAEA dalam melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Keselamatan Global (GSI) ke arah membina dunia yang kekal aman, makmur bersama, terbuka dan inklusif serta bersih dan indah.