China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan Meterai Perjanjian antara Kerajaan mengenai Projek Rel

2024-06-07 13:16:12  CRI
Share with:

Pemimpin China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan mengutus ucapan tahniah menerusi pautan video sempena pemeteraian perjanjian antara kerajaan mengenai projek rel yang menghubungkan ketiga-tiga negara di Beijing pada Khamis.


Presiden China Xi Jinping dalam ucapannya menyifatkan rel berkenaan sebagai projek strategik kesalinghubungan antara China dengan Asia Tengah serta projek ikonik kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).


“Pemeteraian perjanjian antara kerajaan tiga negara akan meletakkan asas kukuh dari segi undang-undang untuk pembinaan rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan.


“Ia menandakan projek berkenaan sedang beralih daripada visi kepada realiti, sekali gus memperlihatkan iltizam tiga negara berganding bahu mempergiat kolaborasi dan mewujudkan pembangunan bersama,” ujar beliau.


Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov berkata rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan akan menjadi laluan pengangkutan baharu yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan negara-negara Teluk Parsi.


"Projek berkenaan amat signifikan dalam memperkasa kesalinghubungan serta pertukaran ekonomi dan perdagangan antara negara-negara di sepanjang laluan rel itu bahkan seluruh rantau," kata Japarov.


Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev pula berkata rel itu akan menjadi laluan darat paling pendek yang menghubungkan China dengan negara Asia Tengah serta mampu membuka pasaran besar di rantau Asia Selatan dan Asia Barat. 


"Ini akan membantu memperluas kerjasama negara serantau dengan China, memperdalam hubungan persahabatan dan selaras dengan kepentingan jangka panjang semua negara terlibat," tambah beliau.


Difahamkan, landasan kereta api itu bermula dari Kashgar, wilayah Xinjiang China dan sampai di Uzbekistan melalui Kyrgyzstan. Ia boleh dipanjangkan lagi hingga ke negara Asia Barat dan Asia Selatan pada masa kelak.