Asia Pasifik Perintis dalam Pembangunan Damai: Diplomat China

2024-06-10 12:57:53  CRI
Share with:

Asia Pasifik merupakan perintis dalam mengekalkan pembangunan damai dan China menyokong penyelesaian damai sebagai cara merungkai perbezaan pendapat dan pertikaian.


Demikian ujar Naib Menteri Luar China Sun Weidong yang mengetuai delegasi ke Laos untuk menghadiri mesyuarat pegawai kanan ASEAN-China, Jepun, Republik Korea (ROK) serta Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN bermula 7 hingga 8 Jun.

 

Sun berkata China menjunjung kepusatan ASEAN, menyokong pendekatan bercirikan ASEAN dalam menggerakkan kerjasama keselamatan serantau, dan menyeru pembentukan konsep keselamatan yang sama rata dan kolaboratif.

 

"Kami (China) berpegang teguh pada prinsip permuafakatan dengan mengambil kira tahap keselesaan semua pihak, memperkaya inisiatif kolaborasi serta aktif bertindak balas terhadap cabaran yang baru muncul seperti keselamatan siber, perubahan iklim dan kecerdasan buatan," kata beliau selepas mesyuarat berkenaan.

 

Menurut diplomat itu, China menyokong kerangka keselamatan serantau berpusatkan ASEAN, terus mengamalkan konsep keterbukaan dan sama menang, menjaga permintaan dan tuntutan semua pihak serta menampung kepentingan semua pihak.


Tambah beliau, usaha diperlukan ke arah mewujudkan kerangka keselamatan yang seimbang, berkesan dan mampan, bukannya membentuk kumpulan kecil yang bersifat tertutup dan eksklusif.