PM China, New Zealand Adakan Rundingan
Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon di Wellington pada petang Khamis.
Li berkata pembangunan China dan New Zealand merupakan peluang bagi satu sama lain, bukannya cabaran.
Kedua-dua negara hendaklah terus menjadi rakan yang saling hormat dan saling percaya, saling untung dan saling belajar serta bersolidariti dan berkolaborasi.
Li menzahirkan hasrat China untuk memperluas skop perdagangan dengan New Zealand, meneroka potensi kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi mesra alam, di samping terus memperkasa kerjasama ekonomi serantau.
Beliau turut menekankan perlunya menghapuskan gangguan faktor bukan ekonomi dalam hubungan ekonomi dan perdagangan, selain menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada pembangunan korporat.
China mengalu-alukan lebih banyak syarikat New Zealand datang membuat pelaburan dan sedia memperkasa pertukaran sosiobudaya antara kedua-dua negara.
Luxon berkata sejak perkongsian strategik komprehensif New Zealand-China dijalin 10 tahun lalu, hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala mengekalkan momentum perkembangan yang kukuh, sementara pertukaran rakyat-ke-rakyat amat rapat.
Beliau menyatakan komitmen pihaknya berpegang teguh pada dasar satu China serta memperkasa komunikasi dan dialog dengan negara Tembok Besar.
Tambah beliau, New Zealand bersedia memperdalam kerjasama dengan China melibatkan segenap aspek, mempergiat penyelarasan dalam kerangka multilateral seperti APEC dan berganding bahu menangani isu global termasuk perubahan iklim.