China Puji Pendirian Positif PM Malaysia untuk Perkukuh Hubungan Dua Hala
China memuji pendirian positif Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan hubungan kedua-dua negara.
Di samping itu, China berharap bekerjasama dengan Malaysia untuk memantapkan hubungan persahabatan tradisional, dan meningkatkan kolaborasi dalam pelbagai bidang, demi memperdalam pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia.
Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang media di Beijing pada Isnin.
Mutakhir ini, Anwar dalam satu temu bual menyatakan, adalah wajar bagi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dengan China, kerana China sanggup menerima dan mendengar cadangan dan kebimbangan dari Malaysia. Ia termasuk membantu Malaysia membangunkan ekonomi digital, tenaga boleh baharu (TBB) dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, Lin berkata, China dan Malaysia adalah negara jiran yang mempunyai persahabatan tradisional. Tak kira bagaimana situasi antarabangsa berubah, China dan Malaysia tetap rakan baik dan sejati yang saling percaya dan bergotong-royong sejak penjalinan hubungan diplomatik pada lima dekad lalu.
Beliau juga mengulangi pendirian China yang teguh menyokong Malaysia dan negara-negara ASEAN untuk mempertahankan solidariti dan kemajuan kendiri, dan mengekalkan pemusatan ASEAN dan kerangka serantau yang inklusif.
China akan terus berpegang kepada prinsip terbuka, kerjasama, dan saling untung, dan bersinergi dengan negara ASEAN bagi membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat, tambah jurucakap itu.