PM China, Malaysia Sempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak

2024-06-20 13:38:58  CRI
Share with:

Perdana Menteri China, Li Qiang dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak di Kuala Lumpur pada Rabu.


Li Qiang yang sedang dalam rangka lawatan rasminya di Malaysia berkata, projek ECRL bukan sahaja merupakan laluan utama dari segi pengangkutan, tetapi juga akan memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan, pengambilan pekerja dan penambahbaikan kesejahteraan rakyat.

“China bersedia berganding bahu dengan Malaysia untuk memanfaatkan ECRL sebagai landasan yang benar-benar kondusif bagi kesejahteraan rakyat setempat.


“China juga bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengkaji kaedah untuk menghubungkan ECRL dengan landasan kereta api China-Laos dan China-Thailand, untuk menggalakkan pembinaan koridor perdagangan darat-laut antarabangsa yang baharu supaya dapat menyumbang kepada peningkatan tahap kesalinghubungan serantau dan memperkasakan pembinaan komuniti ASEAN,” kata beliau.


Li turut menzahirkan keyakinan, dengan usaha bersama kedua-dua pihak, projek ECRL akan dibina menjadi yang berkualiti tinggi, berkecekapan tinggi, selamat dan boleh dipercayai, dan juga projek ikon bagi kerjasama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan.


Anwar Ibrahim pula dalam ucapannya menyatakan keyakinan, dengan usaha bersama Malaysia dan China serta bantuan "Kecepatan China" dan teknologi canggih, projek ECRL akan siap dibina dengan secepat mungkin dan berperanan sebagai penggerak kuat  bagi pembangunan di Malaysia malah negara-negara serantau.