Tingkatkan Kerjasama Antarabangsa, Teroka Angkasa Lepas Bersama

2024-06-20 14:25:21  CRI
Share with:

Majlis jamuan "Teroka Angkasa Lepas, Kerjasama dan Maju Bersama" anjuran bersama delegasi China ke Vienna, Pentadbiran Angkasa Nasional China (CNSA) dan Pejabat Urusan Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA) diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna pada Selasa.


Wakil China, Li Song ketika berucap pada jamuan itu berkata, tahun ini genap 20 tahun projek penerokaan Bulan di China. Negara ini bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, mengadakan pertukaran pendapat dan kerjasama secara mendalam dalam bidang penggunaan damai ruang angkasa lepas dan tadbir urus ruang angkasa berpandukan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), berganding tangan untuk membina komuniti berkongsi nasib di ruang angkasa lepas. 


Ketua Pengarah UNOOSA, Aarti Holla-Maini yang pernah menyaksikan pelancaran Chang'e-6 di China pada Mei lalu, memuji pencapaian negara ini dalam usaha penerokaan Bulan.

"Chang'e-6 yang juga membawa barang-barang dari pelbagai negara ke angkasa mencerminkan semangat kerjasama antarabangsa. 


"Saya menanti-nantikan China menyumbang lebih besar kepada penerokaan ruangan angkasa lepas dan penyelidikan terbabit," kata beliau. 


Angkasawan dari China, Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan Romania berkongsi cerita masing-masing di jamuan tersebut, menyeru peningkatan kerjasama antarabangsa dalam bidang angkasa lepas. 


Jamuan itu turut dihadiri lebih 400 tetamu hormat, antaranya wakil yang menyertai sidang pertama Aktiviti Mampan di Bulan PBB, dan Sidang Penggunaan Damai Ruang Angkasa Lepas ke-67, diplomat dan tokoh dalam kalangan angkasa.