China Teguh Menangkis Provokasi Filipina Degil Bersarang di Terumbu Ren'ai
Tindakan Filipina yang mengukuhkan secara rahsia kapal pendarat Sierra Madre yang sudah usang dan sengaja “terkandas” di pantai Terumbu Ren'ai untuk memanjangkan hayat perkhidmatannya dilihat sebagai pencabulan yang biadab terhadap kedaulatan China, dan sama sekali tidak diterima pihak China yang pasti akan mengambil tindakan balas yang tegas di sisi undang-undang dan peraturan.
Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian pada sidang akhbar pada Jumaat sebagai respons terhadap laporan berkenaan dari Financial Times baru-baru ini.
Lin menyatakan, laporan itu sekali lagi membuktikan apa yang disebut oleh Filipina tentang penghantaran bekalan hidup harian kepada anak kapal Sierra Madre yang bersarang di Terumbu Ren'ai, adalah bohong belaka.
“Seperti yang ditegaskan oleh China berkali-kali, Filipina tidak pernah berhenti dalam menghantar bahan-bahan binaan, bahkan senjata dan peluru kepada kapal tentera yang bersarang tersebut untuk membaikpulih dan mengukuhkannya bagi tujuan menduduki terumbu itu secara berkekalan.
“China menggesa Filipina menghentikan tindakan provokasi dan pencabulan terhadap kedaulatan China, kembali ke landasan yang betul secepat mungkin untuk menangani pertikaian melalui dialog dan rundingan.
“China kekal teguh dalam mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim negara sendiri,” kata Lin.