Xi Ucap Tahniah Kejayaan Misi Chang'e-6

2024-06-25 16:11:30  CRI
Share with:


Presiden China Xi Jinping mengucapkan tahniah atas kejayaan misi Chang'e-6, hari ini.


Prob penyelidikan Chang'e-6 berjaya mendarat di Siziwangqi, wilayah Mongolia Dalam di utara China pada pukul 2.07 petang tadi, membawa balik sampel tanah yang diambil dari sisi jauh Bulan.


Xi menyatakan bahawa misi Chang'e-6 yang berjaya membawa pulang sampel dari sisi jauh Bulan untuk julung-julung kalinya dalam sejarah manusia, adalah satu lagi pencapaian penting negara ini dalam pembinaan negara yang kuat dalam sektor ruang angkasa serta sains dan teknologi di arena antarabangsa.


Xi menzahirkan ucapan tahniah kepada semua individu yang terlibat dalam misi Chang'e-6, di samping berharap agar mereka terus menjalankan penyelidikan saintifik dengan teliti mengenai sampel Bulan, melaksanakan projek aeroangkasa utama, mempergiat pertukaran dan kerjasama antarabangsa, memperoleh pencapaian baharu dalam menerokai misteri alam semesta dan meningkatkan kebajikan umat manusia, supaya memberikan sumbangan baharu untuk mempromosikan pembangunan modenisasi ala China dan kebangkitan nusa dan bangsa China.