Hong Kong Lonjak ke Tempat ke-5 Ranking Daya Saing Dunia

2024-06-26 13:31:27  CRI
Share with:

Hong Kong naik dua anak tangga ke tempat ke-5 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024.


Ranking itu turut menyaksikan Hong Kong menduduki tempat teratas bagi kategori 'dagangan antarabangsa' dan 'peraturan perniagaan'.


Setiausaha Kewangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) Paul Chan Mo-po berkata ekonomi Hong Kong kekal stabil dan bertambah baik biarpun berdepan cabaran luaran.


Bagi suku pertama tahun ini, ekonomi Hong Kong mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dengan sektor eksport menunjukkan prestasi cemerlang.


Untuk rekod, eksport barangan wilayah itu terus pulih pada suku pertama dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.8 peratus.


Sektor perbelanjaan pula meningkat secara sederhana, didorong oleh pertambahan berterusan bilangan pengunjung. 


Paul Chan menjelaskan bahawa selaku 'penghubung' antara Tanah Besar dan dunia, Hong Kong memiliki kelebihan unik dalam usaha memperkasa dagangan dan pelaburan antarabangsa serta memacu kemampanan rantaian bekalan global.


Sementara itu, Setiausaha Inovasi, Teknologi dan Industri HKSAR Sun Dong berkata dengan keupayaan kuat dalam penyelidikan saintifik asas, Hong Kong berpotensi menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) global.


Menurut beliau, terdapat banyak syarikat permulaan teknologi bertapak di Hong Kong dan mereka berpotensi berkembang menjadi syarikat berkelas dunia menerusi pembangunan pusat R&D.