Dialog Meja Bulat Media China-Negara Anggota SCO Diadakan di Astana
Badan media berperanan sebagai penyiar, peneraju dan pencatat yang penting sepanjang proses pertukaran kebudayaan antara pelbagai negara dan menimba ilmu dari tamadun yang berlainan.
Demikian dinyatakan oleh Presiden CMG, Shen Haixiong ketika menyampaikan ucapan dalam Dialog Meja Bulat Media China-Negara anggota SCO anjuran Kumpulan Media China (CMG) yang dirasmikan di Astana pada 3 Julai, iaitu pada saat menjelang sidang ke-24 Majlis Ketua-Ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang diadakan hari ini.
Shen turut mencadangkan tiga perkara, iaitu menambah elemen inovasi ke dalam penyiaran media bagi menceritakan kisah SCO dengan baik, menyeru warga media memikul tanggungjawab untuk bersama-sama membina ekosistem media yang adil, objektif, positif dan sihat dalam senario global, dan mendorong pertukaran dan pembelajaran antara China dan pelbagai negara SCO lain melalui peningkatan kerjasama dalam bidang media.
"CMG mahu mengambil kesempatan ini terus menyemarakkan 'Semangat Shanghai', mendorong SCO mencapai lonjakan baharu dalam perkembangannya, sekali gus menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," tambah beliau.
Naib Menteri Kebudayaan dan Maklumat Kazakhstan, Kanat Iskakov dalam ucapannya pula menyatakan harapan agar melalui dialog ini, rakan media dari pelbagai negara anggota SCO dapat menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat yang dipercayai kondusif bagi peningkatan interaksi dalam pembelajaran antara tamadun yang berlainan.
Selepas "Inisiatif Memperkasakan Kerjasama Praktikal antara CMG dengan Media Negara SCO" dikeluarkan dalam aktiviti dialog tersebut, turut dimulakan mekanisme kerjasama "Perkongsian Eurasia" yang menumpukan kepada kerjasama menyeluruh di pelbagai peringkat membabitkan perkongsian berita, pertukaran program, penghasilan dan penyiaran bersama, latihan media, pertukaran keanggotaan dan sebagainya.
Turut hadir, pegawai kerajaan dan petugas badan media arus perdana dari pelbagai negara anggota SCO.
Para peserta dalam sesi perbincangan yang bertajuk "Warga Media Berintegriti Menyemarakkan 'Semangat Shanghai'”, telah memuji pencapaian China dan pelbagai negara SCO dalam kerjasama media, dan berharap agar kerjasama itu dapat terus diperkasakan pada masa depan, di samping berganding bahu mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib SCO yang lebih padu.